Kerjasama UiTM-WTCKL bakal wujud peluang pekerjaan kepada bakal graduan
Karya khat Baihaqie sampai ke UK

Oleh Ama Alias
KOTA BHARU: Hanya kerana pujian seorang guru, siapa sangka anak muda ini sanggup mempertaruhkan kemahiran menulis khat sebagai kerjaya tetap serta punca rezekinya.
Muslim Baihaqie Mohd Suhaimi, 27, berkata pujian itu diterimanya ketika mengikuti kelas seni khat di Tingkatan 1, Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Bunut Sarang Burung, Wakaf Baru di sini, 14 tahun lalu.

Katanya, guru khat yang bernama Ustazah Nik Fatimah, memuji tulisan khatnya yang dikatakan cantik sedangkan baginya tulisan kaligrafi itu sama sahaja dengan rakan yang lain. “Pujiannya membuatkan saya meneruskan minat untuk mendalami ilmu mengenai tulisan khat sehingga menjadikan kemahiran menulis khat sebagai sumber pendapatan saya sejak tiga tahun lalu,” katanya ketika ditemui di galeri kecilnya di Mulong di sini.
Baihaqie setakat ini sudah menghasilkan lebih 4,000 karya khat yang mendapat tempahan pelanggan termasuk hingga ke United Kingdom (UK), Indonesia, Brunei dan Singapura.
Tempahan karya itu biasanya dibuat di atas kanvas, lukisan bingkai gambar dan cetakan digital untuk perisian komputer di bawah nama ‘Khat Cantik’.
“Biasanya pelanggan menempah khat dalam bentuk ucapan buat yang tersayang, ukiran nama, logo syarikat dan ayat quran untuk dijadikan hadiah dan hiasan dinding,” katanya yang mendapat sokongan isteri tercinta, Nur Sakinah Mohd Azmi, 25. Kaligrafi khat beliau mempunyai pelbagai jenis antaranya nasakh, riq’ah, thultuh, diwani dan Diwani Jali yang dibezakan identitinya melalui rekaan sambungan pada setiap huruf serta titik huruf.

“Paling mendapat sambutan adalah jenis khat Diwani Jali kerana hurufnya boleh digabungkan dengan tema yang diminta pelanggan seperti bentuk burung hantu, Hello Kitty, sepasang burung dan bentuk hati,” katanya.
Pelajar lulusan Pengajian Pentadbiran Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM) ini berkata, cabaran utama kerjaya penulis kaligrafi khat adalah beliau memerlukan suasana yang sangat tenang untuk menghasilkan karya kerana tulisan dibuat secara spontan tanpa sebarang lakaran.