Kapal tangki Korea Selatan ditahan bersauh tanpa kebenaran

 Kapal tangki Korea Selatan ditahan bersauh tanpa kebenaran

Maritim Johor menahan sebuah kapal tangki yang berdaftar di Korea Solatan kerana bersauh tanpa kebenaran pada kedudukan 15 batu nautika timur Tanjung Siang, Kota Tinggi, semalam.

KOTA TINGGI, 10 Ogos — Seramai 18 kru warganegara asing ditahan selepas kapal tangki mereka yang berdaftar di Korea Solatan bersauh tanpa kebenaran pada kedudukan 15 batu nautika timur Tanjung Siang, dekat sini semalam.

Kapal asing itu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada jam 5.15 petang dalam Op Jangkar Haram.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pemeriksaan awal mendapati kapal tangki tersebut bersauh sejak Jumaat lalu ekoran menunggu arahan pergerakan daripada syarikat perkapalan.

“Walau bagaimanapun, nakhoda kapal telah didapati tidak memaklumkan ketibaan dan gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh di perairan Malaysia.

“Kapal tangki itu dikendalikan 18 kru terdiri daripada warga Korea Selatan, Indonesia dan Myanmar berumur antara 19 tahun hingga 58 tahun. Mereka mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kapal itu ditahan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Nakhoda dan Ketua Jurutera kapal telah dibawa ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut,” katanya.

Maritim Malaysia menasihatkan semua pemilik kapal agar mengikuti peraturan-peraturan yang ditetapkan sebelum tiba di perairan Malaysia bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang diambil terhadap kapal mereka.

Sebarang aduan kesalahan di laut atau kecemasan boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Johor menerusi talian 07-2199404 atau talian kecemasan MERS 999.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

49  −    =  40