Kapal tangki ditahan bersauh tanpa kebenaran

 Kapal tangki ditahan bersauh tanpa kebenaran

KOTA TINGGI, 23 Jun – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Johor tmenahan sebuah kapal tangki dari Panama kerana bersauh tanpa kebenaran pada kedudukan 10 batu nautika timur laut Tanjung Penawar, di sini kelmarin.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal tangki tersebut ditahan pada jam 11 pagi dalam Ops Jangkar Haram.

Beliau memberitahu, kapal itu dikendalikan 24 kru warga Georgia berumur antara 25 hingga 50 tahun.

“Mereka mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah tetapi ditahan kerana berlabuh tanpa kebenaran Jabatan Laut Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Sebuah kapal tangki dari Panama ditahan kerana berlabuh tanpa kebenaran di timur laut Tanjung Penawar, Kota Tinggi, kelmarin. Foto WMY/Nurman Nasyriq

Penahanan kapal itu adalah kes terbaharu dalam operasi tersebut yang bermula pada 24 Mac lalu dan yang menjadikan 47 kapal ditahan hingga kini.

Kesan daripada operasi tersebut
menunjukkan perkembangan positif di perairan Johor timur terutamanya di sekitar Tompok Utara, katanya.

“Sebelum pelaksanaan operasi ini, dilaporkan sebanyak 105 buah kapal bersauh secara haram di sekitar perairan Johor Timur dan jumlah ini berkurangan dengan mendadak apabila 47 kapal ditahan dan sebahagian besar diusir meninggalkan perairan Malaysia,” katanya.

Kesemua 47 buah kapal itu disiasat di bawah Seksyen 491 B(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pada tahun lalu Maritim Johor menahan 36 buah kapal di bawah kesalahan bersauh tanpa kebenaran dan bagi tahun ini sehingga kini, 65 kapal ditahan bagi kesalahan yang sama.

“Maritim Johor akan terus melaksanakan operasi ini bagi mengekang pencerobohan dan kemasukan kapal yang bersauh secara haram di perairan negeri Johor,” katanya.

Pemilik kapal dan syarikat berkenaan dinasihatkan supaya lebih peka dengan prosedur dan peraturan sebelum memasuki dan bersauh di perairan Malaysia bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil.

Jika ditahan proses siasatan dan pendakwaan akan menyebabkan kapal ditahan dan tidak boleh beroperasi selagi bon jaminan tidak dibayar.

Sebarang aduan salah laku jenayah maritim di laut atau sebarang kecemasan segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404 atau talian kecemasan MERS 999.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

33  +    =  43