• Thursday, 17 June 2021, 12:55 pm

Kapal tangki Denmark ditahan bersauh tanpa kebenaran

 Kapal tangki Denmark ditahan bersauh tanpa kebenaran

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menahan sebuah kapal tangki yang bersauh tanpa kebenaran pada kedudukan 23.8 batu nautika timur Tanjung Gemoh, di sini semalam.

Oleh Nurman Nasyriq

KOTA TINGGI, 28 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menahan sebuah kapal tangki yang bersauh tanpa kebenaran pada kedudukan 23.8 batu nautika timur Tanjung Gemoh, di sini semalam.

Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal itu ditahan jam 6.51 petang oleh sebuah kapal ronda Maritim Malaysia.

“Pemeriksaan awal mendapati kapal berukuran 183 meter itu dikendalikan 19 kru termasuk nakhoda terdiri daripada warga Rusia, Filipina, India, Ukraine dan Romania berumur antara 23 hingga 49 tahun.

“Mereka memiliki dokumen pengenalan diri yang sah. Nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh serta pemakluman ketibaan di perairan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Seorang kru dibawa ke darat bagi proses saringan Covid-19 sebelum dibawa ke Unit Siasatan Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 491B(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia.

Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Untuk rekod, 42 kapal ditahan dalam Op Jangkar Haram dan menjadikan keseluruhan kes dibawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 Maritim Johor bagi tahun ini hari ini melibatkan 62 kes.

Dalam pada itu, beliau berkata, Maritim Malaysia sentiasa memastikan prosedur operasi standard (SOP) diambil serius bagi mengekang penularan Covid-19 daripada pelaut-pelaut yang datang dari pelbagai negara.

Maritim Malaysia juga menasihati semua pemilik dan nakhoda kapal supaya memastikan segala prosedur dan peraturan dipatuhi sebelum memasuki dan bersauh di perairan Malaysia.

Pihak Maritim Malaysia akan sentiasa memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara dipelihara.

Sebarang aduan salah laku jenayah maritim di laut segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404) atau talian kecemasan MERS 999.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *