Kapal berlabuh secara haram di Tompok Utara Johor digempur

 Kapal berlabuh secara haram di Tompok Utara Johor digempur

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR: Perairan Johor Timur menjadi lokasi tumpuan kapal-kapal dagang bersauh secara haram terutamanya kawasan Tompok Utara kerana kedudukan geografinya yang hampir dengan negara jiran serta lebuh raya laut dua hala yang sesak dari Selat Melaka – Laut China Selatan.

Beberapa kapal asing ditahan dan diperiksa Maritim Malaysia dalam Operasi Khas Jangkar Haram di perairan Tompok Utara Johor

Perkembangan ini sentiasa dalam radar dan tindakan pihak berkuasa Malaysia termasuk menerusi Operasi Khas Jangkar Haram yang dilakukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ke atas kapal-kapal yang disyaki berlabuh secara haram dan mencurigakan di perairan Tompok Utara Johor, yang terletak dalam perairan Timur Johor dan jaraknya dari Jeti Tanjung Pengelih kira-kira 30 batu nautika.

Zon perairan itu juga merupakan ‘pintu masuk’ yang menghubungkan ribuan kapal dagang antara Timur dan Barat. Tambahan pula, kedalaman kawasan berkenaan yang lebih kurang 60 meter adalah amat sesuai bagi kapal-kapal ini untuk bersauh dengan baik.

Menurut Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria, daripada aspek perundangan, terdapat ‘loophole’ yang boleh digunakan kapal-kapal tersebut dengan memberikan alasan bahawa kawasan yang mereka cerobohi bukan dalam perairan laut wilayah Malaysia (MTW).

Beliau berkata, ini kerana mereka memberikan alasan kawasan itu melebihi 12 batu nautika dari pesisir pantai atau tikas air surut yang terendah seperti termaktub dalam konvensyen antarabangsa iaitu United Nation Convention on the Law of the Sea (UNCLOS).

“Fakta yang sebenar adalah 12 batu nautika itu bukanlah bermula dari pesisir pantai di kawasan tersebut. Namun ‘baseline’ yang memberikan hak MTW kepada Malaysia adalah unjuran garis lurus yang digariskan dari Pulau Tioman ke Pulau Aur dan seterusnya ke Tompok Utara.

“Kaedah ini adalah satu daripada cara penentuan ‘baseline’ yang juga terdapat dalam UNCLOS,” katanya.

Persoalannya, apa yang kapal-kapal itu lakukan? Berdasarkan dakwaan beberapa pihak, kapal-kapal itu dikatakan membuang minyak, melakukan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI), kontraban dan menangkap ikan di kawasan tersebut, namun benarkah begitu?

Perkara ini dilihat menggusarkan banyak pihak kerana ia melibatkan kedaulatan negara, malah dibimbangi gerombolan pengganas juga boleh menyusup masuk melalui kaedah tersebut tanpa disedari.

Nurul Hizam memberitahu, terdapat beberapa aduan mengenai tumpuhan minyak yang berlaku, sama ada disengajakan atau berlakunya kemalangan.

“Sebagai contoh terbaharu, pihak media ada melaporkan kejadian tumpahan minyak yang impaknya boleh dilihat dari Pantai Tanjung Buloh, Sedili Kecil hingga Pantai Kampung Sedili Kecil minggu lalu,” katanya.

Beliau berkata, nilai kerugian nelayan akibat aktiviti kapal berlabuh secara haram dan tumpahan minyak sukar untuk ditaksirkan memandangkan perairan Tompok Utara itu bukan kawasan aktiviti perikanan pilihan.

Ini kerana ia terletak di kawasan kepadatan trafik yang boleh mendatangkan bahaya kepada mereka. Namun kejadian tumpahan minyak memberikan impak amat besar kepada industri perikanan setempat kerana bukan sahaja menyebabkan pengurangan bilangan hidupan marin, malah merosakkan peralatan menangkap ikan.

“Berkenaan kawasan itu dijadikan tempat pemindahan atau transit PATI, hingga kini masih belum dapat dibuktikan dengan adanya tangkapan yang dibuat. Di kawasan ini juga kita melaksanakan Op Benteng Laut yang fokus terhadap mengekang kemasukan PATI.

“Walaupun begitu, hasil daripada kes-kes tangkapan yang dibuat, masih belum ada maklumat yang boleh mengaitkan aktiviti ini berlaku melibatkan kapal-kapal yang bersauh di kawasan Tompok Utara. Walaupun begitu, saya tidak menolak dakwaan secara total mengenai kemungkinan ini, namun perlu dibuktikan terlebih dahulu,” ujarnya.

Apabila Operasi Khas Jangkar Haram dilakukan selama tiga hari bermula 24 Mac lalu, dapat dilihat pengurangan kapal-kapal asing yang masuk ke perairan Tompok Utara Johor.

Pasukan maritim diturunkan dari pesawat udara terus ke atas kapal-kapal tersebut. Kaedah itu dilakukan berikutan kedegilan sesetengah nakhoda kapal yang masih berlabuh secara haram dan enggan memberikan kerjasama untuk diperiksa.

Nurul Hizam berkata, selepas hari ketiga operasi itu dilancarkan, jumlah kapal yang masih berdegil dan bersauh secara haram berkurangan daripada 105 kapal pada hari pertama berkurangan kepada hanya 67 buah kapal pada hari ketiga.

Katanya, pengurangan itu menunjukkan perkembangan positif dan diharapkan trend itu akan berterusan.

Operasi itu akan diteruskan hingga semua kapal yang berlabuh mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan dalam Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO) atau keluar dari perairan Johor dengan segera.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  31  =  35