Kampus satelit IKN Sabah dibuka di Kota Belud

 Kampus satelit IKN Sabah dibuka di Kota Belud

KOTA BELUD, 23 April — Kampus Satelit Institut Kraf Negara (IKN) kendalian Kraftangan Malaysia melebarkan sayapnya ke Sabah dengan membuka kampus utama di Kota Belud sebagai inisiatif memperluaskan bidang latihan kemahiran kraf dalam kalangan belia di negeri ini.

Majlis pembukaan kampus utama itu disempurnakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri disaksikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Ibrahim Ismail di Pusat Kraftangan Malaysia Kota Belud di sini hari ini.

Berucap pada majlis itu, Nancy berkata penubuhan kampus satelit berkenaan bertujuan meningkatkan penyertaan golongan belia Sabah melalui pendidikan serta latihan kemahiran kraf secara formal dan fleksibel selain menyediakan program pengajian sepanjang hayat dalam bidang tersebut.

“Pewujudan kampus satelit ini juga adalah manifestasi keprihatinan kerajaan untuk sentiasa memberi peluang kepada belia dan beliawanis Sabah melanjutkan pengajian kemahiran dalam bidang kraf ditawarkan secara formal dan diiktiraf,” katanya.

Beliau berkata kampus satelit itu menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dengan mengguna pakai Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran yang ditawarkan kepada belia berminat melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran kraf berumur 18 hingga 35 tahun.

Nancy berkata sijil kemahiran yang ditawarkan di kampus utama adalah Songket dan Dastar – Tahap Tiga, manakala sijil kemahiran Kraf Rotan – Tahap Tiga pula ditawarkan di mini kampus di Inanam, dengan bidang pengajian turut meliputi kemahiran komunikasi, bahasa, pengurusan, keusahawanan dan keselamatan.

Beliau berkata Kampus Satelit IKN Sabah ketika ini menempatkan 18 pelajar sebagai kumpulan perintis yang akan mengikuti pengajian secara sepenuh masa selama dua tahun, dengan para pelajar terdiri daripada pelbagai suku kaum seperti Bajau, Iranun, Dusun dan Murut sejak pengambilan September 2020.

“Kraftangan Malaysia menyasarkan unjuran pengambilan pelajar di Kampus Satelit IKN Sabah untuk 2020 hingga 2025 adalah 268 orang,” katanya, dan menambah, kumpulan pelajar pengambilan pertama bakal menamatkan pengajian pada Julai 2023.

Beliau berharap kampus itu menawarkan program pengajian Seni Kraf Batik dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan kraf batik berkualiti dan beridentiti budaya setempat di Sabah kerana permintaan kraf tekstil batik terutamanya bermotifkan sentuhan tempatan dengan kombinasi sentuhan fusion ketika ini amat menggalakkan.

Sementara itu, Nancy berkata sebanyak 204 pelajar Sabah menyertai latihan kemahiran di Kampus Induk IKN Rawang, Selangor, dengan kira-kira 30 daripadanya sedang mengikuti pengajian peringkat sijil dan diploma bagi sesi 2020/2021.

Katanya, sebanyak 11 peratus daripada 174 bekas graduan Sabah dari kampus induk itu menjadi usahawan kraf; 29 peratus bekerja dalam industri kraf; sektor swasta (31 peratus); 17 peratus melibatkan diri dalam pelbagai sektor; dan enam peratus masing-masing bekerja di sektor awam dan melanjutkan pelajaran di pelbagai peringkat.

Selain itu, Nancy berkata, Kampus Satelit IKN juga akan dibuka di Sarawak pada Julai ini dengan menawarkan program pengajian Sijil Penyelia Tenunan Pua di Betong dan Sijil Penyelia Songket dan Dastar di Kuching, dengan pengambilan pertama seramai 50 pelajar pada tahun ini.

 

 

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

82  −    =  75