Kampung Damak terkenal dengan durian kampung premium

 Kampung Damak terkenal dengan durian kampung premium

Pemborong buah, Ahmad Mustafar menunjukan dua jenis Durian Kampung Premium (DKP) keluaran Kampung Damak.

JERANTUT, 2 Ogos — Keenakan rasa yang ada pada Durian Kampung Premium (DKP) keluaran Kampung Damak menjadi faktor ramai pekebun mengekalkan pokok raja buah itu hingga kini.

Kehadiran durian Musang King dan pelbagai klon terkenal lain seolah-olah tidak menjejaskan permintaan terhadap durian jenis berkenaan yang hanya terkenal di daerah ini sahaja.

Pemborong buah-buahan, Ahmad Mustafar, 42, berkata setiap tahun bila tiba musim durian ramai penggemar raja buah datang ke Kampung Damak bagi mendapatkan DKP yang baru gugur dan segar.

Menurutnya, selain memiliki rasa yang sedap serta berlemak, isi yang tebal dan berwarna oren menjadi tarikan utama pengemar raja buah itu untuk mendapatkanya setiap tahun.

Katanya, ciri-ciri lain terdapat pada DKP ialah buah bertangkai segar, bebas kotoran, tidak busuk, bentuk sempurna, isi krim, kuning atau jingga, ketebalan isi melebihi 10 milimeter (mm), kemanisan isi melebihi 25 peratus brix, rasa berlemak dan sedikit pahit serta buah melebihi 1 kilogram.

“Pada musim durian kali ini saya mampu menjual lebih setan sehari DKP keluaran Kampung Damak, ternyata permintaan begitu menggalakan hingga tidak mencukupi. Ramai yang membuat tempahan bagi mendapatkan buah jenis berkenaan.

“Kelebihan yang terdapat pada DKP seolah menutup keistimewaan yang ada pada durian Musang King keluaran daerah ini,” katanya, di sini semalam.

Dia yang menjalankan perniagaan ditepi Jalan Jerantut-Benta dekat Kampung Damak berkata, disebabkan permintaan menggalakan terhadap DKP menyebabkan ramai pekebun mengekalkan pokok durian jenis berkenaan yang kebanyakan berusia lebih 40 tahun.

Ahmad berkata, kini terdapat lebih 15 pekebun yang memiliki pokok DKP di Kampung Damak dan beberapa kampung berhampiran, masing-masing mempunyai kebun dengan keluasan yang berbeza dan kebanyakan terletak di kawasan bukit.

“Antara DKP terkenal di Kampung Damak dan beberapa kampung lain ialah seri damak, mas hijau, kulit buaya, kepala gajah, damak king dan tembaga damak. Banyak lagi yang tiada nama khas.

“Saya berharap DKP dapat terus kekal di bumi Kampung Damak dan usaha berkenaan perlu mendapat sokongan daripada agensi kerajaan yang berkaitan,” katanya yang turut mengusahakan tapak semaian durian.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

19  −  10  =