WacanaSHARE+[VIDEO]Kalimah Allah boleh diguna bukan Islam tapi bersyarat – Dr MAZA

 WacanaSHARE+[VIDEO]Kalimah Allah boleh diguna bukan Islam tapi bersyarat – Dr MAZA

Mufti Perlis Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin ketika ditemuramah oleh Wacana.my

Oleh Irwan Abdul Rahman

KANGAR, 19 Mac – Mufti negeri Perlis Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin  berpendapat, isu penggunaan kalimah Allah oleh golongan bukan Islam perlu ditangani dengan berhemah dan diselesaikan berteraskan realiti sebenar, untuk mengelakkan ia terus menjadi polemik dan menjadi sebab kepada sebarang kegusaran, perselisihan faham atau pergolakan di antara kaum dan agama di negara kita.

“Pertama sekali, kita perlu sedar bahawasanya kita berinteraksi dengan realiti, bukan secara emosi,” kata beliau ketika ditemuramah Wacana.my baru-baru ini.

“Realitinya, isu ini bukan isu baru. Ia bermula di mahkamah ketika pentadbiran kerajaan-kerajaan yang lalu, dan akan berterusan jika kerajaan kini gagal menyelesaikannya.

“Kita juga perlu menerima, bahawasanya, penggunaan nama Allah di kalangan bukan Muslim ini sudahpun berlaku, bukan sahaja di Sabah dan Sarawak, bahkan di seluruh dunia Islam,” tambah Dr Asri. “Bagi penganut agama Kristian, Yahudi, di negara-negara Arab ataupun di negara jiran kita sendiri, Indonesia, mereka sebut Allah. Itu fakta.

“Juga fakta adalah penggunaan perkataan Allah di kalangan penganut agama lain seperti Sikh. Memang dalam teksnya, dipakai perkataan ‘Allah’. Sepertimana juga bukan Muslim menyebut nama itu dalam lagu-lagu negeri di Malaysia yang mempunyai perkataan Allah seperti lagu Negeri Selangor, dan juga Negeri Perak, saya rasa. Demikian juga terdapatnya perkataan Allah dan Muhammad yang tertera di dalam logo PDRM, yang dipakai juga oleh anggota polis yang bukan Islam. Itu juga adalah satu realiti yang kita tidak boleh nafikan.”

Beliau berkata, dari segi agama, orang bukan Islam boleh menggunakan perkataan Allah, namun hanya untuk penggunaan yang betul. “Agama tidak melarang bukan Muslim untuk menggunakan perkataan Allah, jika ia merujuk kepada Allah yang betul, bagi merujuk kapada tuhan yang sebenar. Quraisy pun guna perkataan itu juga sebelum Nabi datang, sebab itu nama bapa Nabi, Abdullah yang bermaksud ‘hamba Allah’,” jelas beliau. “Mereka guna untuk merujuk kepada the real essence of God (zat Allah), ataupun ‘Tuhan yang sebenar’.”

Tambah beliau, “Dari segi konteks Malaysia ini, kita tahu kebimbangan masyarakat Melayu. Perkara ini bersifat setempat juga, walaupun ada fakta-fakta yang saya sebut tadi. Jadi, ketika kita melihat kepada hak untuk menyebut Allah, pada masa yang sama kita juga melihat kepada kebimbangan terdapat mana-mana pihak yang mungkin mengambil kesempatan dari isu ini, dengan tujuan-tujuan yang lain. Itu kita tidak boleh nafikan.

“Jadi, pada pendapat saya, perkataan Allah ini boleh digunakan oleh sesiapa sahaja, TETAPI dengan syarat-syarat yang ditetapkan,” kata Dr Asri.

Menurut beliau, syarat-syarat yang khusus itu termasuklah, penggunaan tersebut merujuk kepada Tuhan yang sebenar.

“Contohnya, jika seorang bukan Muslim berkata kepada seorang Islam, ‘Semoga Allah beri awak kesihatan’, maka betul lah penggunaan itu.

“Selain syarat itu, perlu tidak ada unsur provokasi. Maksudnya dia tidak boleh menggunakan perkataan Allah untuk menimbulkan provokasi kepada kita. Ataupun dia letakkan nama itu kepada benda-benda yang tidak kena, seperti berhala atau sebagainya. Itu bercanggah dan boleh menimbulkan ketidaktenteraman. Quraisy yang banyak berhala dulu pun tidak menamakan berhala mereka Allah.

“Allah tetap ‘Tuhan yang sebenar’,” tegas beliau.

Dr Asri berpendapat, kerajaan boleh membuat tuntutan di mahkamah bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik. “Tetapi tuntutan tersebut sebaiknya untuk penggunaan bersyarat. Jadi, dari segi politik, ia adalah win-win. Dan dari segi Islam, ia adalah penggunaan bersyarat.

“Sebelum ini mungkin tertutup ruang dia, jadi kerajaan perlu mencari solution kepada isu ini, kerana jika tidak, mana-mana kerajaan yang memerintah pun, isu ini akan terus berlangsung.”

Beliau juga berkata, cadangan penggunaan bersyarat itu perlu disertakan dengan usaha pendidikan atau ‘awareness’ yang jelas kepada segenap masyarakat bagi mendapatkan penyelesaian yang lengkap.

“Jika ada orang bukan Muslim berkata ‘Allah turunkan hujan’, apa masalahnya? Sebabnya adalah, ada dikalangan umat Islam di sini salah faham, mereka ingat perbezaan Muslim dan bukan-Muslim ini adalah nama tuhan. Bukan.

“Umat Islam di negara ini perlu sedar, yang berbezaan antara orang Islam dengan bukan Islam adalah syirik (tidak mempercayai tuhan yang sebenar) ataupun tidak syirik. Sebab bila kita tidak jelas masalah aqidah kita, kita kata ‘kita Muslim, tuhan kita Allah; dia bukan Muslim, tuhan dia Jesus atau tuhan dia Siva’, itu bukan essence masalah kita. Asas masalah kita bukan kerana nama.

“Memang nama tuhan itu Allah, tapi jikalau dia sebut nama Allah pun, dan dia mensyirikkan Allah, itu bukan aqidah Islam. Asasnya: sesiapa yang mensyirikkan Allah, maka dia bukan Muslim.

“Quraisy dulu menyebut nama Allah, tapi dia bukan Muslim. Kristian Arab sampai hari ini, Bible dia sebut nama Allah, tapi dia bukan Muslim. Perbezaan kita adalah faktor syirik itu. Sebab itu ucapan ‘La ilaha illallah’ itu bererti ‘kita tolak semua tuhan-tuhan, melainkan Allah’. Bukan kita kata ‘Tuhan kami adalah Allah’, tetapi ‘Tidak ada tuhan melainkan Allah’. Itulah konsep aqidah Islam.”

Dr Asri juga berpendapat, sebenarnya sejarah membuktikan yang aqidah orang Melayu ini amat kuat.

“Kita ada penjajahan Portugis, Belanda dan British. Dari dahulu, kita sudah ada sekolah-sekolah missionary. Ramai antara kita masuk sekolah-sekolah St John, convent dan sebagainya, kita baca Bible, baca doa-doa. Tetapi tiada satu pun orang Melayu masuk Kristian sejak beratus tahun lamanya.

“Maksudnya, itu semua takkan menggugat kita,” tegas beliau. “Tetapi, pada masa yang sama, kita perlu menguatkan aqidah kita, terutamanya pada zaman ini, yang banyak sumber informasi.”

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

83  −    =  78