Kaki warga emas tersangkut di pokok

 Kaki warga emas tersangkut di pokok

Anggota bomba menyelamatkan seorang warga emas yang kaki kanannya tersangkut pada dahan pokok rambutan di Jalan Suria 4, Kluang, hari ini

Oleh Nurman Nasyriq

KLUANG, 29 Mac – Seorang warga emas yang mahu memotong dahan dengan parang terpaksa menahan sakit kira-kira 20 minit selepas kakinya tersepit ketika memanjat pokok rambutan di Jalan Suria 4 di sini, hari ini.

Lelaki berusia 66 tahun itu pada mulanya memanjat pokok tersebut pada jam 9.38 pagi sebelum bahagian lutut kanannya tersepit pada celah dua dahan.

Cubaan warga emas itu melepaskan kakinya yang tersepit dan ketika itu berada pada ketinggian kira-kira 3 meter tidak berhasil.

Ahli keluarga mangsa kemudian menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang untuk mendapatkan bantuan.

Sembilan anggota bomba dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

Komander Operasinnya, Penguasa Bomba Kanan II Noorhakim Mohd. Nordin berkata, anggota bomba memanjat dan memotong dahan tersebut dengan menggunakan parang sebelum mangsa dibawa turun dengan selamat menggunakan tangga.

“Mangsa mengalami kecederaan ringan hanya melecet di bahagian kaki, operasi tamat jam 10.18 pagi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  +  24  =  28