Kaki dan jari Ziyad ada di syurga…

 Kaki dan jari Ziyad ada di syurga…

Ziyad di pangkuan ibunya

Oleh Mohd Fikri Mie

 

BENTONG, 15 Mei – Walaupun episod menyayatkan hati itu berlaku hampir dua tahun lalu namun ia begitu segar dalam ingatan bagi seorang ibu, seolah-olah detik  memilukan itu hanya baru terjadi.

“Hanya Allah saja yang tahu perasaan saya ketika itu apabila enam jari tangan dan kedua-dua belah kaki anak kecil saya terpaksa dipotong.

“Dunia saya rasa gelap apabila doktor beritahu ia terpaksa dilakukan bagi menyelamatkan nyawa Muhamad Ziyad Amzar Muhamad Razif,” kata ibu kanak-kanak itu, Kaasnida Mohamed Nazar, 33, kepada Wacana.my.

Menurutnya, anak ketiganya ketika itu berusia tiga tahun mengalami gejala kehitaman pada jari dan kaki seolah-olah mereput (gangrene) pada Ogos 2019.

Kaasnida yang menetap bersama keluarga mentuanya di Felda Mempaga Tiga, di sini berkata, lebih menyedihkan selepas sebulan diserang penyakit itu kedua belah kaki anaknya terpaksa dipotong paras bawah lutut.

“Saya hampir pengsan apabila doktor pakar Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh menyatakan kaki Muhamad Ziyad Amzar terpaksa dipotong untuk menyelamatkan nyawanya bagi menghalang kuman penyakit itu merebak ke bahagian badan lain.

“Sebagai seorang ibu, apa yang dapat saya lakukan ialah merayu pada doktor supaya kedua kaki Muhamad Ziyad Amzar dipotong di bawah lutut bagi memberi peluang kepadanya memakai kaki palsu dengan selesa walaupun mengalami kecacatan kekal,” katanya.

Air matanya dan suami, Muhamad Razif Razali, 39, setiap tergenang mengenangkan penderitaan anak tersayang. Muhamad Ziyad Amzar menanggung derita mengidap penyakit gangren yang tidak diketahui daripada mana puncanya.

Kaasnida berkata, anaknya mula deman pada 2 Ogos 2019 dan tanda serangan kuman dikesan apabila terdapat bintik-bintik merah pada kedua belah kaki dan dia terlalu lemah.

“Selepas itu jari tangan mula bertukar hitam dan tidak boleh digerakkan hingga memaksa doktor membuat keputusan memotongnya terlebih dahulu,” katanya.

Usaha menyelamatkan kaki Muhamad Ziyad Amzar juga tidak berjaya apabila kakinya turut menjadi hitam dan tidak boleh digerakkan.

“Selama sebulan dia dirawat di ICU HoSHAS dalam keadaan lemah. Setiap hari dia menangis menahan kesakitan.

“Dalam tempoh 14 bulan (2019 dan 2020), anak saya menjalani empat kali pembedahan iaitu pembedahan memotong tulang bahagian tangannya yang memanjang.

“Kini Muhamad Ziyad Amzar perlu menjalani fisioterapi di Hospital Bentong,

dari semasa ke semasa bagi membiasakan dia berjalan menggunakan kaki palsu selain menggunakan jarinya yang tidak sempurna. Sebelum ini latihan fisioterapi di Hospital Rehabilitasi Cheras, Selangor.

“Sebagai ibu saya reda dengan apa yang berlaku hari ini, pasti ada hikmah kecacatan dialami Muhamad Ziyad Amzar yang masih tidak faham dengan erti kesusahan dan kekurangan.

“Kami begitu sebak dan terharu apabila Muhamad Ziyad Amzar sering menyatakan jari tangan dan kakinya kini berada di syurga,” katanya yang turut mempunyai dua anak perempuan berusia lapan dan lima tahun.

Kaasnida berkata, untuk bergerak anaknya kini terpaksa menggunakan kaki palsu yang disediakan oleh Hospital Rehabilitasi Cheras. Namun keadaanya tidak selesa kerana kaki berkenaan tidak boleh bengkok. Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ) sebelum ini ada meluluskan bantuan kaki palsu baharu namun belum diserahkan.

Muhamad Ziyad Amzar kini menerima pendidikan awal di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Cahaya Kasih Mempaga Satu dan kini perkembangannya amat menggalakan, dia minat belajar bersama kanak-kanak lain selain mengikuti latihan fisioterapi.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang menyediakan bantuan RM500 setiap bulan, ia dapat meringankan perbelanjaan mereka sekeluarga,” katanya.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

80  −  70  =