Kerjasama UiTM-WTCKL bakal wujud peluang pekerjaan kepada bakal graduan
Kaki bola jual Kaki Jersi

Pengasas bersama Harfat (kiri) dan Nor Akmar (kanan) memegang jersi keluaran mereka
Oleh Iqhram Ahmad
GOMBAK, 13 Mac — Menggunakan asas pengalaman serta minat dengan bola sepak dan futsal akhirnya tergabung usaha menghasilkan jersi dengan harga mampu milik.
Pengasas Bersama Kaki Jersi (KJ), Harfat Rusman berkata, pengalaman memulakan operasi pencetakan baju di sebuah bilik pada 2015 sebelum perlahan-lahan berpindah ke kilang telah mengajar beliau erti kesabaran dalam dunia perniagaan.
“Sejak memulakan operasi pada 2015, matlamat kami adalah menghasilkan jersi dengan harga mampu milik serta selesa dipakai.
“Walaupun dengan harga mampu milik, kami sentiasa memastikan kualiti produk kami setanding dengan produk jenama premium yang berada di pasaran,” kata Harfat kepada Wacana.my di kilang Kaki Jersi di Batu Caves, di sini.

Susulan daripada sambutan menggalakkan dan keyakinan terhadap jenama Kaki Jersi, kini kapasiti pengeluaran kilangnya mencecah 8,000 hingga 10,000 helai sebulan meliputi jersi, seluar dan lain-lain.
Turut hadir, Pengasas Bersama Nor Akmar Ahmad yang juga Ketua Pegawai Operasi.
Harfat yang juga Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu berkata, lingkungan harga bagi sepasang jersi bola termasuk seluar dan stoking bermula dari harga RM30 hingga RM90.
“Harga mampu milik ini sedikit sebanyak dapat menaikkan reputasi produk tempatan serta menaikkan semangat kompetitif antara syarikat kecil dan besar.
“Harga yang murah ini turut beri pihak kami peluang untuk bekerjasama dan membantu komuniti-komuniti tempatan,” katanya.
Sementara Nor Akmar, semua pekerja Kaki Jersi adalah belia-belia di kawasan perumahan terdekat.
“Setakat ini, kami mempunyai 32 pekerja yang tinggal di sekitar Batu Caves ini. Kami tidak mengambil kira latar belakang atau pelajaran seseorang asalkan mereka mempunyai semangat untuk belajar dan bekerja.

“Setiap orang akan diajar mengenai semua perkara mengenai pencetakan baju daripada jenis-jenis kain, jahitan, heat press dan sulaman.
“Kebanyakan design jersi kami adalah hasil idea pekerja kami yang mempunyai pengalaman bermain bola di peringkat daerah dan kelab. Disebabkan itu, mereka tahu apa yang diperlukan pemain dari segi kreativiti dan keselesaan jersi,” kata Nor Akmar.
Terdahulu, Harfat berkata, perniagaan pencetakan baju turut menerima libasan teruk akibat pandemik COVID-19.
Katanya, majoriti pelanggannya merupakan pasukan-pasukan amatur atau liga sosial yang bergantung kepada kejohanan amatur tempatan.