Kakak setia santuni adik kudung sakit

 Kakak setia santuni adik kudung sakit

Khirul Nizam (tengah) menziarahi Ab Rahim di Kampung Sri Serdang Baru, Tampoi di sini, semalam

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 24 Feb: Pengorbanan seorang kakak kepada adiknya dapat dilihat melalui kepayahan Rupiah Ayoob Khan, 64, menyantuni adiknya, Ab Rahim, 58, yang kudung kedua-dua belah kaki serta tangan kiri manakala tangan kanannya lumpuh disebabkan penyakit angin ahmar.

Atas rasa tanggungjawab, Rupiah menguatkan semangat bersama suaminya, Mohd Lela Ismail, 69, untuk menjaga Ab Rahim sejak 20 tahun lalu di Kampung Sri Serdang Baru, Tampoi, di sini.

Sejak 1992, adiknya menghidap penyakit darah pekat dan kencing manis dengan menjalani pembedahan bermula dengan jari kaki kanan yang terpaksa dipotong kesan daripada komplikasi penyakit terbabit.

“Penyakit itu merebak ke tangan kirinya dan pergelangan tangan kirinya pula terpaksa dipotong pada 2004.

“Keadaan Rahim bertambah buruk apabila dia diserang penyakit angin ahmar menyebabkan tangan kanannya lumpuh dan tidak boleh digerakkan lagi,” katanya selepas menerima kunjungan Ketua Penolong Pengarah Khidmat Pengurusan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Khirul Nizam Mat Said sempena Program Ziarah Asnaf, semalam.

Rupiah memberitahu, adiknya hanya terlantar manakala kesan pembedahan paha kirinya masih belum pulih sepenuhnya menyebabkan ia bernanah.

Urusan menghantar Ab Rahim mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan di Batu 5, Tampoi, pula diuruskan anak Rupiah.

Sementara itu, Khirul Nizam berkata, pihaknya akan cuba mendapatkan bantuan saraan bulanan sebanyak RM500 untuk Ab Rahim bagi tempoh sepanjang hayatnya.

Dalam lawatan tersebut, MAINJ menyampaikan sumbangan barangan keperluan seperti tilam, alas tilam, periuk nasi, cerek elektrik, bantal dan lampin dewasa serta wang tunai RM500.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank Rupiah Ayoob bernombor 101132414266.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  +  22  =  26