Kajian, tindakan segera atasi punca banjir di Masai

 Kajian, tindakan segera atasi punca banjir di Masai

Che Zakaria melakukan tinjauan di Sungai Masai yang menyebabkan banjir kilat setiap kali hujan lebat.

PASIR GUDANG, 4 Sept — Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu segera membuat kajian punca banjir yang kerap berlaku di Kampung Masjid dan Kampung Sepakat, Masai di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh berasa sedih dan kecewa apabila JPS tidak hadir untuk melihat kawasan yang kerap berlaku banjir terutamanya di Kampung Masjid.

“Adakah masalah rakyat yang dihadapi di kawasan banjir ini sebagai masalah remeh-temeh? Adakah sehingga berlaku kemalangan jiwa baru tindakan hendak diambil. Harap pihak berkenaan terutamanya JPS ambil tindakan segera.

“Tolong buat kajian dan maklumkan status dengan segera dengan memikirkan solusi terbaik bagi mengatasi punca masalah yang tiada kesudahan. Rintihan mangsa banjir yang saban tahun terpaksa menanggung kerugian, sampai bila masalah ini perlu berlanjutan,” soalnya selepas memberi bantuan 20 tilam dan meninjau keadaan banjir di Kampung Masjid, hari ini.

Banjir kilat melanda Kampung Masjid, Kampung Sepakat dan Desa Bakti di Masai pada jam 3 pagi Khamis mengakibatkan penduduk yang sedang tidur kelam-kabut bangun menyelamatkan diri dan barang-barang berharga.

Che Zakaria berkata, masalah itu harus diselesaikan segera kerana sudah lima kali banjir berlaku di Kampung Masjid dan Kampung Sepakat, Masai dalam tahun ini iaitu pada 10 Januari, 15, 24, dan 25 Jun dengan terbaharu pada Khamis.

“Banjir pada jam 3 pagi kelmarin adalah paling buruk dalam tahun ini apabila air naik lebih setengah meter dalam masa beberapa jam. Banjir ini naik begitu cepat sehingga tiada barang atau perkakas rumah dapat diselamatkan.

“Pakaian, makanan, mesin basuh, peti sejuk, motosikal dan kereta semua ditenggelami air manakala buku-buku teks sekolah dihanyutkan air banjir,” katanya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

4  +  5  =