Kaji longgar SOP jika kes kurang 4,000 – Ismail Sabri

 Kaji longgar SOP jika kes kurang 4,000 – Ismail Sabri

Ismail Sabri (tiga dari kiri) berbual dengan Hasni (empat dari kiri) dan Adham semasa melawat Hospital Medan ATM di pekarangan HSA, Johor Bahru, hari ini

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 13 Jun – Kerajaan akan mempertimbangkan untuk melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sekiranya kes positif COVID-19 harian kurang daripada 4,000 kes.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu bagaimanapun tertakluk kepada nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut beliau, kerajaan juga akan mengadakan mesyuarat khas bertujuan membincangkan pelan keluar daripada pelaksanaan PKP sepenuhnya.

“Ini bukan bermakna menamatkan PKP 3.0, tetapi mungkin kaji semula peraturan yang mana boleh dilonggarkan sedikit. Ini kerana impaknya hanya akan dapat dilihat selepas 14 hari, iaitu tempoh masa inkubasi wabak berkenaan.

“Kita doa selepas 14 hari kes turun, kita boleh kaji semula SOP yang kita anggap mungkin sedikit ketat, namun ia bergantung kepada nasihat daripada KKM,” katanya dalam sidang media selepas melawat Hospital Medan di Hospital Sultanah Aminah (HAS), di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Adham Baba dan Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad.

Menurut Ismail Sabri, kerajaan juga sedang menjalankan perbincangan mencari jalan keluar daripada pelaksanaan PKP akibat pandemik COVID-19 ketika ini.

Exit plan untuk keluar daripada PKP secara keseluruhan memang ada, tetapi yang jelas vaksinasi rakyat perlu dilakukan bagi mencapai imuniti kelompok seperti disasarkan kerajaan.

“Kalau boleh capai sasaran itu, saya percaya secara perlahan-lahan kita boleh buka (pelaksanaan PKP secara keseluruhan),” katanya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  3  =  2