Kaedah penentuan arah kiblat tradisional

 Kaedah penentuan arah kiblat tradisional

“DAN dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjid Al-Haram (Kaabah); dan sesungguhnya perintah berkiblat ke Ka’bah itu adalah benar dari Tuhanmu. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan segala apa yang kamu lakukan.” (Surah Al Baqarah, ayat 149).

Zaman berubah, masa berlalu seiring dengan kemajuan teknologi. Peralatan yang canggih di dalam menentukan arah kiblat kini digunakan sehingga boleh sampai kepada ketepatan pengukuran yang sangat jitu. Namun begitu, kaedah penentuan arah kiblat secara tradisional masih lagi sesuai untuk digunakan sebagai pilihan yang mudah dan ringkas.

Matahari

Fenomena Istiwa’ A’dzam

Matahari adalah tergolong dalam kategori bintang kerdil yang paling hampir dengan bumi dengan jarak purata 149,680,000 kilometer. Cahayanya yang amat cerah ini memakan masa 8 minit untuk sampai ke bumi, dan amat merbahaya jika memandang terus kepadanya sehingga boleh menyebabkan mata menjadi buta. Pelbagai kaedah tradisional boleh digunakan untuk menentukan arah kiblat dengan berpandukan kepada matahari.

Satu kaedah menggunakan matahari adalah fenomena Istiwa’ A’dzam yang berlaku apabila matahari berada tepat di atas Ka’bah setiap tahun pada waktu tengah hari waktu Makkah pada 28 Mei (5.16 petang) dan 16 Julai (5.28 petang). Untuk tahun lompat ia berlaku pada 27 Mei dan 15 Julai. Bayang Ka’bah tidak wujud ketika ini kerana bentuknya yang tegak dan matahari berada tepat di atasnya. Ketika fenomena ini, kita boleh menyemak arah kiblat dengan tepat, tanpa perlu membuat sebarang kiraan dengan menegakkan kayu pada tarikh tersebut dan apabila tepat pada masanya, tandakan bayang-bayang kayu tersebut untuk menentukan arah kiblat. Oleh kerana fenomena ini berlaku di sebelah petang di Malaysia, bayang tiang akan jatuh ke arah timur, arah kiblat ialah yang menghadap ke barat.

Rajah 1 : Fenomena Istiwa’ A’dzam untuk penentuan arah kiblat

Arah Matahari Terbenam

Bagi yang berada berhampiran pesisiran pantai, di mana kita boleh melihat matahari terbenam di ufuk barat, secara umumnya, arah ianya terbenam berada sekitar 235 darjah hingga 295 darjah sepanjang tahun. Manakala arah kiblat secara umumnya adalah di antara 290 hingga 293 untuk seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Jadual di bawah boleh dirujuk sebagai panduan.

Bulan

Anggaran Arah Kiblat Dari Matahari Terbenam

BULAN Anggaran Arah Kiblat Dari Matahari Terbenam
Januari Ke kanan 45
Februari Ke kanan 40
Mac Ke kanan 25
April Ke kanan 15
Mei Ke kanan 5
Jun Ke kiri 1
Julai Ke kanan 1
Ogos Ke kanan 5
September Ke kanan 15
Oktober Ke kanan 30
November Ke kanan 40
Disember Ke kanan 45

Rajah 2 :Panduan arah matahari

Rajah di bawah pula adalah anggaran secara kasar menggunakan jari tangan untuk mendapatkan kiraan darjah ke kanan atau ke kiri matahari.

Rajah 3 : Pengukuran sudut menggunakan panduan jari tangan

 

Buruj Bintang

Buruj bintang adalah kelompok bintang-bintang yang membentuk sesuatu gambaran di langit malam. Buruj bintang yang digambarkan oleh manusia zaman dahulu kala adalah mengikut bentuk-bentuk tertentu yang merujuk kepada mitos, lagenda atau haiwan.Terdapat 88 buruj bintang di langit yang mempunyai pelbagai fungsi termasuk untuk menentukan arah mata angin iaitu utara, selatan, timur dan barat.

Di antara buruj bintang yang sering digunakan sebagai panduan terutama arah kibat ialah Buruj Belantik atau Orion. Deretan tiga bintang yang terdapat di dalamnya iaitu Alnitak, Alnilam dan Mintaka apabila diunjurkan ke arah barat akan menunjukan arah kiblat bagi penduduk di Malaysia dan negara yang serantau.

Buruj Orion akan berada di langit Malaysia ketika waktu Subuh pada Julai dan kelihatan tinggi di langit waktu tengah malam pada Disember. Kemudian ia akan berada di tengah-tengah langit pada waktu Maghrib pada Mac dan waktu yang berhampiran. Bagaimanapun, buruj Orion boleh digunakan sebagai rujukan arah kiblat hanya apabila kedudukannya berada di atas kepala dan akan menjadi kurang tepat apabila ia berada di posisi lain.

Rajah 4 : Buruj Orion

Selain itu, bintang Qutbi atau kutub dan lebih dikenali sebagai bintang Polaris boleh juga digunakan sebagai rujukan mencari arah kiblat sekiranya di latitud yang tinggi di negeri-negeri sebelah timur seperti Kelantan dan Terengganu. Bintang Polaris jika diunjurkan ke bawah akan menunjukkan arah utara benar. Apabila sudah mengetahui arah utara adalah mudah untuk menentukan secara kasar arah barat yang menghala ke arah kiblat.

Rajah 5: Bintang Polaris

Penutup

Mencari arah kiblat yang betul adalah amat penting kerana ia adalah di antara syarat sah kepada ibadat solat. Alasan tidak mengetahui arah kiblat tidak lagi boleh digunakan kerana pengetahuan mengenainya sudah boleh didapati dengan meluas melalui medium pembelajaran yang pelbagai. Di Negeri Sembilan, Jabatan Mufti sebagai entiti yang berautoriti adalah di antara sumber yang boleh dirujuk.

Teks ini disediakan oleh Unit Falak, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

2  +    =  10