KADA rancang perkenal 2 benih varieti padi baharu Jun depan

 KADA rancang perkenal 2 benih varieti padi baharu Jun depan

PASIR MAS, 24 Mac — Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) merancang untuk memperkenalkan dua benih varieti padi baharu, U-Putra dan NMR 152, yang boleh mengeluarkan lebih banyak hasil dan berkualiti, selain mempunyai daya tahan serangan penyakit, Jun depan.

Pengerusinya Datuk Kamarudin Md Nor berkata, varieti padi baharu tersebut ialah U-Putra oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) dan NMR 152 oleh Agensi Nuklear Malaysia (ANM).

“Pada peringkat awal kita akan lakukan (penanaman) oleh KADA terlebih dahulu, dan sekiranya ia menunjukkan hasil yang baik dan tinggi, kita akan galakkan pesawah untuk menggunakan varieti baharu itu nanti.

“Kita jangkakan tanaman varieti padi baharu ini akan bermula pada musim baru iaitu Jun depan. Bagi peringkat perintis ini akan melibatkan keluasan tanah antara empat hingga 10 hektar,” katanya selepas Majlis Pembahagi Hasil dan Zakat Ladang Merdeka Meranti, Senor dan Bakong di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kubang Bunut, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Kamarudin berkata, tempoh matang tanaman padi varieti baharu itu juga adalah lebih singkat iaitu hanya sekitar 100 hari berbanding benih padi biasa yang mencecah sehingga 110 hari, sekali gus ia dapat meningkatkan pengeluaran hasil.

-“Malah, menurut hasil kajian yang dijalankan sebelum ini, benih padi baharu ini juga mampu mengoptimumkan pengeluaran hasil sehingga sekali ganda, berbanding benih padi biasa.

“Bagi varieti jenis U-Putra mampu mengeluarkan hasil mececah sehingga 10.2 tan per hektar, manakala NMR 152 julat hasil adalah sebanyak 11 tan per hektar,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Kamaruddin berkata menerusi projek Ladang Merdeka yang telah diperkenalkan oleh KADA sejak hampir 30 tahun lalu, ia berjaya meningkatkan pengeluaran padi di negeri ini.

Beliau berkata kadar purata pengeluaran padi menerusi ladang merdeka itu, mampu mencecah sehingga enam tan bagi satu hektar, peningkatan berbanding sebelum ini yang hanya sekitar empat hingga lima tan sahaja.

“Menerusi projek ini juga bukan sahaja KADA dapat mempertingkatkan hasil pengeluaran padi bahkan mampu membantu penduduk kampung memandangkan kita menyewa tanah daripada mereka.

“KADA tetapkan kadar bayaran setiap 0.4 hektar (satu ekar) sekitar RM500 ke atas dan ia merupakan bayaran sewa yang tinggi iaitu hampir 10 kali ganda daripada kadar sewa biasa,” katanya.

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  +  85  =  89