Kaamatan simbol kesyukuran & kekitaan KDMR

 Kaamatan simbol kesyukuran & kekitaan KDMR

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan menuai padi menggunakan `linggaman’ (sabit tradisi masyarakat Sabah) sebagai simbolik perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Sabah di KDCA, Penampang.

Oleh Mohd Azrone Sarabatin

KOTA KINABALU, 3 Mei – Walaupun kaedah menuai padi secara tradisional semakin hilang kesan ledakan teknologi pertanian moden, namun ia tidak menjejaskan sambutan `Tadau Kaamatan’ atau Pesta Menuai yang diraikan masyarakat Kadazandusun, Murut dan Rungus (KDMR) sepanjang Mei.

Pesta itu berasal daripada amalan kenduri bersama keluarga dan penduduk kampung dikenali `Moginakan’ sebagai tanda kesyukuran kepada Bambarayon iaitu semangat padi serta `Kinorohingan’, tuhan mengikut kepercayaan masyarakat berkenaan yang membolehkan mereka menikmati hasil tuaian padi.

Ahli antropologi yang juga Setiausaha Eksekutif Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), Dr Benedict Topin dipetik daripada artikel ‘The Kaamatan Mystery’, menjelaskan majlis Moginakan adalah asal sambutan Kaamatan yang diraikan masyarakat KDMR hari ini.

Sekumpulan `Bobolian’ memanggil semangat padi atau `bambarayon’ sebelum perasmian Pesta Kaamatan.

Menurut beliau, Tadau Kaamatan juga tidak dapat dipisahkan dengan `Bobolian’ iaitu bomoh masyarakat berkenaan yang kebanyakan adalah wanita yang dikatakan memiliki kepakaran memanggil semangat padi menerusi ritual khas selepas padi selesai dituai.

Seterusnya, pertandingan Unduk Ngadau atau ratu cantik yang menjadi kemuncak Pesta Kaamatan ada mitos tersendiri iaitu berkisar tuhan masyarakat Kadazandusun, Kinorohingan dan isterinya, Suminundu, yang terpaksa mengorbankan anak perempuan mereka Huminodun.

“Mereka terpaksa berbuat demikian kerana percaya masalah bencana alam yang melanda kampung mereka akan berakhir selepas upacara pengorbanan gadis jelita.

“Mengikut legenda, segala bahan makanan yang wujud pada ketika itu berasal daripada tubuh gadis berkenaan. Beras ketika itu datangnya daripada isi gadis yang putih melepak, darahnya pula bertukar menjadi lada dan kepalanya bertukar menjadi kelapa serta jari jemarinya bertukar halia,” katanya.

Gadis jelita mengambil bahagian dalam pertandingan unduk ngadau (ratu cantik) Kaamatan peringkat daerah Kota Marudu.

Sementara itu, Pesta Kaamatan atau `Karamazan Kokotuai’ sangat penting dalam kalangan masyarakat Rungus kerana pesta ini menjadi medan melafaz dan menunjukkan rasa kesyukuran terhadap Kinoringan (tuhan) yang memberikan rezeki dalam bentuk hasil padi yang banyak dalam sesuatu kalendar tahun penanaman padi.

Hasil daripada padi ini telah menghidupkan seluruh masyarakat Borneo yang bertani dan menanam padi, justeru dapat menikmati kemakmuran dan kesejahteraan sekali gus keamanan.

Pengkaji budaya Rungus, Dr Azlan Raymond Majumah, berkata perasaan bersyukur, gembira dan kepuasan bertani ini dapat dizahirkan menerusi pelbagai acara sambutan, pelbagai persembahan dan pementasan atau pertandingan termasuk tarian, kecantikan, jamuan makanan dan sebagainya.

Katanya, persembahan ritual berkaitan penanaman dan tuaian padi juga diadakan. Ini sama ada secara nyata sebagaimana amalan asalnya, atau dalam bentuk lakonan dan persembahan pentas, untuk disesuaikan dalam konteks masa kini.

Beliau berkata, sudah tentu sambutan Pesta Kaamatan ini relevan kerana selain dapat melahirkan rasa bersyukur dan mempersembahkan pelbagai acara kebudayaan dan keunikan variasi ritual, pesta ini juga mampu membangkitkan semangat bertani yang kuat dalam kalangan masyarakat Rungus dan etnik Kadazan Dusun dan Murut atau rumpun Momogun.

“Pesta ini dapat mengukuhkan keazaman serta kemahuan bekerja dan berusaha secara berterusan untuk produk, dengan harapan ada keberhasilan yang meningkat dan lebih baik pada setiap tahun sambutannya.

“Apa yang lebih penting lagi, pesta ini telah menyuburkan semangat kekitaan dan perpaduan yang amat kukuh dalam kalangan masyarakat Rungus.

“Sesungguhnya, pesta ini dinanti dan ditunggu-tunggu ketibaannya pada setiap tahun. Peranan pakar upacara yang dikenali sebagai `bobolizan’ dalam kalangan masyarakat Rungus ditonjolkan atau dipaparkan secara simbolik saja, sebagai mana ritual sebenar yang pernah diadakan pada masa silam,” katanya.

Dr Azlan Raymond berkata, biasanya seorang pakar upacara (bobolizan) mengetuai ritual `mongginggivit’ (upacara yang dilakukan pada hari terakhir menuai padi di sawah dalam amalan asalnya), mengetuai persembahan ini di atas pentas, sambil menuturkan `rinait’ yang telah diubahsuai.

Katanya, rinait iaitu lafaz ritual yang asal tidak dibacakan, sebaliknya menutur atau menyanyikan melodi yang sama dengan melodi asal rinait tersebut, tetapi kandungan rinait tersebut sama ada berupa mesej kesejahteraan, kemakmuran atau penghargaan kepada hadiran serta memuji majlis yang dapat dianjurkan dengan gemilang dan meriah.

Dr Azlan Raymond Majumah

Beliau berkata, dalam amalan asalnya, pakar upacara ini akan berkomunikasi dengan semangat di dalam alam ghaib, iaitu semangat yang dikenali sebagai bambarazon kerana masyarakat Rungus percaya, semangat Bambarazon ini hadir dan menjelma dalam bentuk katak (dikenali sebagai oduo-du) di sawah, sepanjang tempoh menuai padi.

“Pakar upacara memohon kepada `Kinoringan’ melalui semangat `bambarazon’ supaya  dilipatgandakan hasil pada tahun tersebut atau pada masa-masa akan datang. `Kaamatan’ atau `karamazan kokotuai’ ini sangat penting dan sudah tentu sangat relevan dalam kalangan masyarakat Rungus pada masa kini,” katanya.

Dalam pada itu, majlis pelancaran Tadau Kaamatan peringkat negeri yang diadakan di Dewan Hongkod Koisaan KDCA, Penampang, Sabtu lalu hanya dihadiri kira-kira 50 orang, meliputi  jawatankuasa penganjur peringkat negeri dan daerah Penampang berikutan pandemik Covid-19.

Pelancaran disempurnakan Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Kaamatan pada tahun ini, Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Kebiasaannya, Pesta Kaamatan dilancarkan Ketua Menteri Sabah, manakala penutupan disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah serta dihadiri Menteri Kabinet negeri dan Persekutuan serta kenamaaan lain termasuk duta asing daripada pelbagai negara.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

4  +  3  =