Jurucakap HTM akan didakwa dalam masa terdekat

 Jurucakap HTM akan didakwa dalam masa terdekat

Abdul Hakim Othman

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 6 April – Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Abdul Hakim Othman yang ditangkap sepasukan pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hujung bulan lalu, akan didakwa di Mahkamah Syariah di sini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Datuk Md Rofiki Shamsudin berkata, kertas siasatan terhadapnya sedang dilengkapkan sebelum diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk dituduh di mahkamah dalam masa terdekat.

“Abdul Hakim ditangkap selepas tiga kali waran tangkap dikeluarkan di Johor sebelum ini. Kita tidak dapat membawanya ke Johor sebelum ini disebabkan kelewatan dan kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Dia ditangkap dengan bantuan JAIS yang bekerjasama dengan JAINJ,” katanya selepas menghadiri Majlis Tautan keselamatanUkhuwah dan Sidang Akhbar Zakat Fitrah Tahun 1442/2021M di sebuah hotel di sini, hari ini.

Dari kiri, Nooh, Yahya, Tosrin dan Md.Rofiki (kanan) menunjukkan kaedah pembayaran zakat selepas Majlis Tautan Ukhuwah dan Sidang Akhbar Zakat Fitrah Tahun 1442/2021M di Johor Bahru, hari ini

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi; Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad; Penasihat MAINJ, Datuk Dr. Nooh Gadot; Pengurus Besar Felda Wilayah Segamat dan Pengurus Besar Felda Wilayah Johor Bahru, Muhammad Zuwairi Amin.

Pada 30 Mac lalu sejurus keluar dari Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Abdul Hakim ditahan setelah waran tangkap dikeluarkan Mahkamah Rendah Syariah Johor Bahru yang memerlukan beliau hadir ke pejabat JAINJ untuk memberi keterangan.

Tangkapan dilakukan kerana tindakan beliau menyerahkan memorandum bantahan kepada Jabatan Mufti Johor pada 27 September lalu yang memfatwakan fahaman HTM sesat dan bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Terdahulu, satu kenyataan pernah dimuat naik dalam laman web rasmi HTM yang mendakwa Tosrin dan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memfitnah bahawa fahaman mereka bercanggah dengan agama Islam.

Fahaman HTM pernah mengeluarkan risalah berhubung negara Islam moden sebagai kufur serta akan memerangi sistem demokrasi dan menurut Ayob, fahaman mereka mempunyai ciri-ciri ajaran sesat antaranya seperti Daesh.

Selain Johor, Selangor, Pahang, Sabah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur termasuk di negara yang mempunyai umat Islam antaranya Rusia, Tunisia, Bangladesh, Jordan dan Syria turut memfatwakan fahaman itu menyesatkan dan mengancam keselamatan negara.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

49  −    =  39