Jumlah jemaah solat Jumaat ditambah kepada 500 orang

 Jumlah jemaah solat Jumaat ditambah kepada 500 orang

Semua ketetapan tersebut adalah tertakluk kepada SOP yang ditetapkan kerajaan

KUALA LUMPUR, 16 Sept — Jumlah jemaah bagi solat Jumaat di Masjid Wilayah Persekutuan termasuk Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin ditingkatkan kepada 500 orang berkuat kuasa esok.

Perkara itu diputuskan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menerusi kenyataan media dikeluarkan hari ini.

Pengarahnya, Datuk Mohd. Ajib Ismail berkata, sebelum ini, had jemaah bagi solat Jumaat bagi Masjid Wilayah Persekutuan adalah seramai 300 orang.

“Ketetapan baharu itu sudah mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” katanya

Menurut beliau, keputusan itu dibuat selaras peralihan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang kini diletakkan di bawah Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Bagi solat Jumaat Kuala Lumpur dan Putrajaya, bilangan jemaah di Masjid Wilayah Persekutuan dibenarkan seramai 500 orang manakala, bilangan jemaah di tujuh buah Masjid Zon dan Masjid Kariah pula dibenarkan seramai 250 orang, “katanya.

Sementara itu, katanya, bilangan jemaah di Surau Jumaat pula dibenarkan seramai 150 orang manakala, bilangan jemaah di Surau Diberi Kebenaran Khas untuk diri Jumaat pula adalah seramai 100 orang.

“Manakala, bilangan jemaah di Surau Jumaat dan Surau Diberi Kebenaran Khas untuk diri Jumaat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dibenarkan seramai 80 orang.

“Semua ketetapan tersebut adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikeluarkan pihak kerajaan.

“Semoga umat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan serta bermunajat dan berdoa agar penularan wabak COVID-19 segera berakhir,” katanya.

 

Muhammad Iqhwan Hakim Abdullah

iqhwan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  62  =  65