• Friday, 18 June 2021, 12:25 am

Jumlah jemaah di Johor dihadkan

 Jumlah jemaah di Johor dihadkan

Masjid Sultan Iskandar, Johor

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 20 Mei — Sebagai usaha membendung penularan wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) mengehadkan bilangan jemaah yang dibenarkan menunaikan solat fardu lima waktu dan solat Jumaat kepada 50 orang di masjid negeri itu berkuat kuasa esok.

Pengerusi Jawatankuasa Hal-Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, bagi surau hanya dibenarkan 20 orang dan jemaah  terdiri daripada ahli kariah dan jawatankuasa pengurusan kariah, pegawai masjid dan surau sahaja.

Tosrin Jarvanthi, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor

Menurutnya, keputusan itu dibuat susulan peningkatan kes jangkitan COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika ini hingga 7 Jun depan.

“Jawatankuasa pengurusan masjid dan surau boleh menyediakan ruang solat musafir dengan syarat mesti menyediakan petugas untuk memastikan jemaah yang musafir patuh dengan SOP.

“Jawatankuasa masjid dan surau, imam, bilal, noja dan para jemaah hendaklah membawa sejadah bersaiz besar sendiri dan tidak berkongsi sejadah dengan jemaah lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sekiranya terdapat masjid dan surau yang diarahkan tutup disebabkan berlaku kes COVID-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), maka ahli jemaah di masjid dan surau berkaitan hendaklah mendirikan solat fardu lima waktu di rumah dan menggantikan solat Jumaat dengan solat Zohor.

Bagi aktiviti pengimarahan masjid dan surau yang dibenarkan adalah majlis membudayakan al-Quran, bacaan surah Yasin dan Tahlil, wirid khaujakan, zikir, asmaul husna, selawat, ratib Al-Attas bacaan surah Al-Mulk dan surah Al-Kahfi dengan syarat kehadiran tidak melebihi 50 orang bagi kategori masjid dan 20 orang bagi kategori surau

Bagi kelas takmir, kelas al-Quran, kuliah umum dan khas secara fizikal adalah ditangguhkan sementara sehingga suatu arahan lain dimaklumkan.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *