Jual haiwan eksotik dengan harga ribuan ringgit

 Jual haiwan eksotik dengan harga ribuan ringgit

Napuh kini diternak secara komersial di beberapa negeri di Semenanjung dan memberi pulangan lumayan.

Oleh Mohd Kamal Ahmad

KUALA LUMPUR, 27 April – Tidak salah untuk memelihara atau menternak haiwan eksotik asalkan ia dilakukan dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan termasuk mendapat permit daripada Jabatan PERHILITAN.

Mungkin tidak ramai tahu hobi tegar ini juga kini diakui memberi pendapatan lumayan. Jadi tidak hairan, semakin ramai individu yang menceburi ternakan haiwan eksotik dan kegiatan mereka kerap dipaparkan termasuk menerusi Facebook Usahawan Hidupan Liar Malaysia (UHLM) yang mempunyai 150 ahli berdaftar.

Spesies burung kakaktua yang mahal harganya.

Antara yang diternak ahli persatuan ini ialah napuh (Tragulus napu), kancil (Tragulus javatticus), rusa sambar (Cervus unicolor) dan landak raya (Hystrix brachyura) serta landak nibung (Atherurus macrourus) selain pelbagai spesies unggas.

Ketua Biro Komunikasi dan Medianya, Atras Yahya berkata, persatuan yang ditubuhkan pada 2018 telah banyak membimbing ahli-ahli baharu yang ingin menternak termasuk menerusi kursus yang dianjurkan bersama PERHILITAN.

Menternak haiwan liar ternyata memberikan pulangan lumayan. Jualan hanya melibatkan sepasang haiwan dan dijual dalam keadaan hidup. Sepasang landak nibung dijual RM1,500, rusa sambar (RM1,700), kancil (RM2,900), napoh (RM3,500) dan landak raya (RM3,500).

Burung punai emas yang dijual RM48,000 sepasang.

“Ada juga penternak yang menjual daging segar landak raya iaitu RM150 sekilogram,” kata Atras sambil memberitahu, daging landak dikatakan baik untuk yang mengidap asma selain rendah kolestrol.

Satu perkara yang mungkin ramai orang tidak tahu ialah jualan hidupan liar hanya dibenarkan untuk tempoh tertentu sahaja dalam setahun.

“Jualan hanya bermula dari 1 Mei hingga 31 Ogos setiap tahun bertujuan untuk mengawal pembiakan haiwan liar tersebut,” katanya.

Beliau berkata, jika seseorang mahu memiliki haiwan tersebut sebagai haiwan peliharaan, mereka mesti mempunyai permit dan menyediakan kandang yang selesa serta selamat.

Ketika ramai penternak hidupan liar yang Berjaya seperti Azmi Jaafar yang menternak lebih 700 landak di Kuala Pilah. Di Melaka, Muhammad Rizal Anuar pula menternak kancil dan landak yang jumlahnya masing-masing 10 dan 65 ekor.  M Fauzan Mansor di Terengganu pula memiliki 100 landak raya dan empat landak nibung.

Arnab jenis Patagonian mara juga diklasifikasikan sebagai eksotik dan turut dibiakkan di negara ini.

Di Janda Baik, Pahang, Muzzafar Ishak pula memilih ternakan unggas iaitu merak hijau, punai emas dan punai tanah selain landak Afrika.

Antara yang membeli punai emas ialah Zoo Negara, Zoo Taiping dan Zoo Melaka di samping orang kenamaan. “Sepasang punai emas berharga RM48,000,” katanya.

Ada juga ahli UHLM yang menternak burung emu dan kasawari serta arnab eksotik import jenis Patagonian mara, sebagaimana yang diusahakan oleh Effie Rasmi di Klang.

Atras berkata, tiada penternak yang menawarkan skim francais atau mengeksport haiwan tersebut buat masa ini sekarang.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

64  −    =  62