Jual beli mangga asam boi boleh disaman RM2,000

 Jual beli mangga asam boi boleh disaman RM2,000

Oleh Nurman Nasyriq

PASIR GUDANG, 15 Mac – Saman RM2,000 boleh dikenakan kepada sesiapa yang terlibat dengan urusan jual beli produk termasuk mangga asam boi di kawasan lampu isyarat kerana ia merupakan satu kesalahan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, aktiviti perniagaan itu salah di sisi undang-undang kerana bukan sahaja membahayakan penjual malah pengguna jalan raya.

Justeru beliau menasihatkan, peniaga supaya mencari lokasi perniagaan lain yang lebih bersesuaian.

“Menerusi Ops Kesedaran, polis Johor telah mengenal pasti sebanyak 52 lokasi yang menjadi tumpuan aktiviti perniagaan di lampu isyarat seluruh Johor.

“Mengikut peruntukan undang-undang, bukan sahaja penjual boleh dikenakan tindakan tetapi juga pembeli yang mana mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengikuti Op Khas – Ekzos Bising yang diadakan di Taman Kota Masai, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr. Famey Yusof.

Antara lokasi yang dikenal pasti termasuk di lampu isyarat pusat beli-belah Angsana Johor Bahru Mall, lampu isyarat Kempas Baru-Pasir Gudang, lampu isyarat Taman Cempaka dan lampu isyarat Jalan Kulai-Kota Tinggi.

Peniaga dinasihatkan mencari kaedah jualan lain yang bukan sahaja lebih selamat tetapi mengikut lunas peruntukan undang-undang negara.

Bagaimanapun katanya, setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang laporan terdapat mana-mana kejadian kemalangan melibatkan aktiviti perniagaan di lampu isyarat.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

38  −  32  =