Jual ayam RM5 seekor kerana PKP 3.0

 Jual ayam RM5 seekor kerana PKP 3.0

Pengasas Dapur Infaq Ummah, Badrul Jamili Kamaruddin mengadakan jualan amal ayam segar dengan harga RM5 seekor di Laman Kopi & Teh, Indera Mahkota.

KUANTAN, 22 Jul – Pengguna hanya perlu membayar dengan harga RM5 sahaja bagi seekor ayam segar dengan purata beratnya lebih 1.5 kilogram.

Program jualan amal itu dikhususnya untuk golongan yang terkesan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Dapur Infaq Ummah.

Pengasas Dapur Infaq Ummah, Badrul Jamili Kamaruddin berkata, pihaknya menyediakan sebanyak 150 ekor ayam untuk dijual pada harga serendah RM5 seekor, namun satu keluarga hanya boleh membeli seekor sahaja.

Menurutnya, sambutan terhadap jualan amal itu begitu menggalakkan, hanya dalam masa beberapa jam sahaja ayam habis dijual.

Katanya, ini kali pertama pihaknya mengadakan program jualan amal ayam segar bertujuan membantu meringankan beban golongan memerlukan yang terkesan berikutan PKP yang sudah agak lama berlarutan tahun ini.

“Rancangan awal Dapur Infaq Ummah ialah untuk mengadakan jualan amal ikan segar dengan harga murah namun pada saat akhir pembekal tidak dapat menyediakan bekalan ikan dengan jumlah ditetapkan.

“Kami terpaksa menukar kepada ayam selepas mendapat persetujuan pemborong ayam di daerah ini,” katanya yang turut membantu menjual ayam di Laman Kopi & Teh, Indera Mahkota, di sini.

Beliau menambah, aktiviti jualan bermula 9.30 pagi namun setengah jam sebelum itu sudah ramai yang datang untuk mendapatkan ayam, mereka beratur mengikut jarak ditetapkan petugas.

“Sebelum ini Dapur Infaq Ummah turut memberi sumbangan keperluan asas kepada 100 golongan miskin bandar di daerah ini menerusi program ‘Foodbank’.

“Setiap hari kita turut menyediakan makan tengah hari dan malam kepada lebih 150 komuniti lorong Wong Ah Jang, di sini yang turut terkesan dengan PKP 3.0 kali ini,” katanya.

Mohd Fikri Mie

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *