• Sunday, 20 June 2021, 3:35 pm

JPV periksa 81,252 lembu ada tanda LSD

 JPV periksa 81,252 lembu ada tanda LSD

Penternak lembu perlu segera melaporkan kepada JPV sekiranya ternakan mereka dijangkiti penyakit kulit kental (LSD).

Teks dan foto Oleh Mohd Fikri Mie

KUANTAN, 4 Jun — Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) bertindak segera dengan memeriksa 81,252 ekor lembu di 9,108 ladang seluruh negara selepas terdapat tanda 89 ekor haiwan berkenaan di jangkitan penyakit kulit kental (LSD).

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Norlizan Mohd Noor berkata, pihaknya kini memandang serius wabak penyakit berkenaan dan usaha mengesan serta menyekat penularanya kini giat dilakukan di seluruh negara.

Menurutnya, semua JPV negeri sudah diarahkan untuk mula mengaktifkan program survelan bagi mengesan dan mengawal seterusnya bertindak melakukan aktiviti pencegahan penularan penyakit LSD pada ternakan lembu di seluruh negara terutama dikawasan yang berisiko tinggi.

Katanya, usaha mencegah penularan penyakit LSD turut dilakukan membabitkan lembu import, syarat mengimport lembu hidup akan diperketatkan lagi supaya tidak ada lembu yang mengidap penyakit berkenaan masuk ke negara ini.

“Kita akan berkerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dalam memperkemaskan lagi kawalan disemua pintu masuk negara, tindakan tegas akan dikenakan terhadap konsainan lembu import yang menunjukkan gejala penyakit LSD di stesen kuarantin.

“JPV memohon kerjasama pemain industri termasuk pengimport, peraih dan penternak lembu supaya segera menghubungi pejabat perkhidmatan veterinar negeri dan daerah berdekatan sekiranya mengesyaki ternakan lembu di dalam jagaan atau
kandang mereka menunjukkan gejala penyakit LSD,” katanya menerusi kenyataan media Ibu Pejabat JPV Putrajaya, semalam.

Beliau menambah, persampelan akan dilakukan segera bertujuan untuk pengesahan penyakit, ternakan lembu yang terjangkit perlu di
asingkan dan dilupuskan menerusi penyembelihan di rumah sembelih jabatan atau rumah sembelih swasta yang dilesenkan.
Dr Norlizan berkata, penyakit LSD disebabkan virus Poxviridae dan boleh tersebar pada ternakan lembu melalui gigitan vektor serangga seperti nyamuk dan sengkenit, ia juga boleh berjangkit melalui rembesan air liur dan hidung ternakan lembu yang dijangkiti wabak berkenaan.

Menurutnya, tanda klinikal pada ternakan lembu yang terjangkit LSD ialah nodular pada kulit di sebahagian atau keseluruhan badan haiwan terbabit, sehingga kini tiada rawatan khusus untuk penyakit berkenaan.Ternakan lembu yang terjangkit boleh diberikan rawatan bagi mengelak jangkitan sekunder menerusi pemberian antibiotik, anti-inflamatori dan vitamin.

“Walaupun penyakit LSD tidak menyebabkan kematian yang tinggi pada ternakan tetapi ia memberi kesan ekonomi kepada industri penternakan lembu dan kerugian kepada penternak akibat penurunan pengeluaran susu pada lembu tenusu, penurunan berat badan, keguguran dan kemandulan kepada lembu pejantan.

“Penyakit LSD tidak zoonotik iaitu tidak menjangkiti manusia. Sehubungan itu, JPV menafikan gambar individu yang tular dengan gejala di bawah mata disebabkan jangkitan LSD,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *