JPNP patah usaha melombong bijih besi haram

 JPNP patah usaha melombong bijih besi haram

Jenkaut yang disita dipercayai digunakan untuk melombong bijih besi secara haram di Hutan Simpan Ibam.

ROMPIN, 27 Januari 2022 – Unit Penguat kuasa Timur (UPKT) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) berjaya mematahkan kegiatan melombong bijih besi secara haram di Hutan Simpan Ibam, Muadzam Shah, semalam.


Serbuan yang dilakukan sembilan anggota penguat kuasa di Kompatmen 86 itu selepas mendapat aduan awam.
Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa) JPNP Nor Azirim Ahmad berkata, pihaknya dibantu kakitangan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Rompin ke lokasi seterusnya membuat pemantauan serta semakan keatas kawasan tersebut.


Menurutnya, pemeriksaan menemui jenkaut yang dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti melombong bijih besi secara haram dan berada dalam Hutan Simpan Ibam tanpa permit memasuki hutan di keluarkan JPNP.


“Kita percaya jenkaut terbabit digunakan untuk mengangkat ketulan batu keatas lori untuk dipindahkan ke kawasan lain sebelum melalui proses seterusnya.


“Beberapa lubang bersaiz serdahana besar turut ditemui dalam kawasan terbabit yang dipercayai bekas kesan ketulan batu yang diambil oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk diproses,” katanya, di sini hari ini.


Beliau berkata, pihaknya bertindak menyita jenkaut terbabit dan disimpan sementara di Pejabat Renjer Hutan Muadzam Shah. Kes berkenaan disiasat mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).

Longgokan bahan galian yang dipercayai bijih besi yang terdapat dalam Hutan Simpan Ibam.


Nor Azirim berkata, kejayaan semalam merupakan kes pertama tahun ini membabitkan kegiatan melombong bijih besi dalam hutan simpan yang dilakukan secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab. Hutan Simpan Ibam sebelum ini turut terkenal dengan kegiatan melombong emas.


Katanya, usaha mengesan dalang yang terbabit melakukan kegiatan berkenaan kini sedang dilakukan bagi tindakan seterusnya, mereka perlu dihadapkan kemuka pengadilan.


“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbukti melakukan kesalahan, tindakan undang-undang akan dikenakan diatas setiap kesalahan dilakukan.


“Saya merayu pada mana-mana pihak supaya dapat memberi kerjasama dengan memberi maklumat sekiranya mengetahui kegiatan menceroboh hutan simpan dan bertindak memindahkan hasil hutan tanpa kebenaran,” katanya yang berharap lebih banyak kes kesalahan hutan dapat ditumpaskan tahun ini.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

83  +    =  93