JPNP akan terus tanam pokok di Tasik Chini

 JPNP akan terus tanam pokok di Tasik Chini

Pokok buluh ditanam pada program menghijaukan semula kawasan Tasik Chini.

KUANTAN, 15 Jun — Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah menanam lebih 5,000 pelbagai spesies pokok di kawasan zon penampan seluas 13.12 hektar di Tasik Chini, Pekan yang dilakukan sejak dua tahun lalu.

Usaha menghijaukan semula kawasan bekas lombong di Tasik Chini dilakukan secara berperingkat dengan aktiviti menanam pokok tutup bumi yang dapat mengembalikan nutrien tanah.

Pengarahnya Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, pihaknya telah menanam lebih 5,000 pokok spesies seperti merawan siput jantan, meranti temak nipis dan kelat pucuk merah serta buluh membabitkan kawasan seluas 13.12 hektar.

Kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menanam pokok pada program menghijaukan semula kawasan Tasik Chini.

Katanya, jabatan akan menyegerakan aktiviti pemulihan di kawasan ceroboh lombong di Tasik Chini, selain mempergiat usaha memulihkan kawasan lombong yang dilakukan melalui Kumpulan Wang Pemulihan Lombong selepas tiada lesen baharu diluluskan sejak 2019.

Menurutnya, usaha itu turut banyak dilakukan di kawasan zon penampan seluas 13.12 hektar dengan menanam pelbagai spesies buluh, tanaman penutup bumi serta spesies pokok bersesuaian seperti pokok merawan siput jantan, kelat pucuk merah dan meranti temak nipis.

“Kawasan Tasik Chini menjadi antara lokasi dibawah program penghijauan semula yang disusun oleh JPNP di negeri ini, aktiviti menanam pokok dilakukan secara berterusan oleh kakitangan termasuk kontraktor yang dilantik.

Pokok meranti temak nipis yang ditanam tahun lalu cepat membesar di kawasan Tasik Chini.

“Saranan kerajaan negeri untuk melihat kawasan bekas lombong di Tasik Chini kembali hijau dengan pelbagai pokok akan diberi perhatian,” katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, penanaman pokok buluh dilakukan dalam usaha memulihkan kawasan terbabit seterusnya mengelak berlaku kejadian hakisan dan pencemaran terutama pada musim hujan.

Mohd Hizamri berkata, dalam usaha mewujudkan kesedaran masyarakat setempat, kerajaan Pahang juga turut melancarkan ‘Kempen Satu Pokok, Satu Rakyat Negeri Pahang yang mensasarkan penanaman pokok sebanyak 5 juta pokok pada tahun ini termasuk
di kawasan Tasik Chini.

Pelancong menaiki bot dalam Tasik Chini.

Katanya, kempen berkenaan untuk menyokong serta menjayakan ‘Program Penghijauan Malaysia’ yang mensasarkan tanaman sebanyak 100 juta pokok menjelang tahun 2025.

Katanya, sejak 2019 kerajaan negeri mula mempergiatkan usaha memulihkan kawasan lombong dengan memperuntukkan sebanyak RM250,000 menggunakan sumber Kumpulan Wang Pemulihan Lombong.

Sebelum ini isu aktiviti melombong di kawasan Tasik Chini mencetuskan rasa tidak senang banyak pihak kerana ia mengundang kesan buruk pada alam sekitar seterusnya persekitaran tasik semulajadi itu.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

2  +  4  =