JPNP akan tanam 5 juta pokok tahun ini

 JPNP akan tanam 5 juta pokok tahun ini

Program menanam pokok di kawasan hutan bekas ceroboh. Foto WMY/Mohd Fikri Mie

KUANTAN, 25 Jun – Sebanyak 5 juta pokok balak pelbagai spesies akan ditanam tahun ini dalam usaha menambah pendapatan kerajaan negeri dalam jangka masa panjang.

Jumlah berkenaan bertambah berbanding 1.2 juta yang ditanam tahun lalu dan projek tanaman berkenaan membabitkan semua daerah di negeri ini.

Timbalan Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Datuk Samsu Anuar Nawi, aktiviti menanam pokok dijalankan sepanjang tahun yang dilakukan Bahagian Pembangunan Hutan.

Program menanam pokok di kawasan Tasik Chini. Foto WMY/Mohd Fikri Mie

JPNP membabitkan pejabat silvikultur Pahang Timur dan Pahang Barat.

Menurutnya, selain tanaman pesisir pantai projek utama yang diusahakan membabitkan tanaman kawasan hutan yang ceroboh, bekas lesen pembalakan, tapak matau atau tempat menyimpan balak dan petak pemuliharaan.

Katanya, setiap tahun pihaknya mengadakan program menghijaukan kawasan pusat pelancongan termasuk sekolah menerusi aktiviti tanggungjawab sosial dengan kerjasama agensi kerajaan, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan pusat pengajian tinggi.

“Antara program berskala besar diadakan tahun lalu ialah aktiviti penanaman spesies balak di beberapa kawasan seperti di Hutan Simpan Chini, Pekan dan Hutan Simpan Berkelah, Maran.

“Usaha memulihkan bekas kawasan kebun sayur dan bunga haram di Hutan Simpan Sungai Ichat, Cameron Highlands turut dilakukan sebelum ini dan hasilnya kini amat membanggakan apabila pokok spesies Damar Minyak, Meranti Rampai Daun, Merawan Siput Jantan dan Geruk kini hidup subur,” katanya dihubungi, di sini hari ini.

Beliau berkata, tahun lalu JPNP turut terbabit dengan Ops Bertam membabitkan aktiviti menanam di kawasan ceroboh di sepanjang laluan di Lembah Bertam.

Program menanam pokok di kawasan pesisir pantai di Pekan. Foto WMY/Mohd Fikri Mie

Samsu Anuar berkata, program menanam pokok diadakan setiap tahun yang dilakukan secara gotong-royong selain kontraktor dilantik.JPNP akan memantau semua projek bagi memastikan kejayaanya.

“Program penanaman pokok Ru, Ketapang, Bintangor Laut dan Kelapa turut dilakukan dipesisir pantai di daerah ini dan Rompin.Ia bertujuan mengurangkan hakisan selain sebagai peneduh.

“Aktiviti menanam dilakukan sepanjang tahun yang turut disertai pelbagai pihak, antara kawasan tanaman ialah di pesisir Pantai Sepat, Pantai Sungai Ular, Pantai Anak Air, Pantai Bernas dan Pantai Cempaka,” katanya.

Sementara itu Penolong Pengarah Silvikultur (Zon Pahang Timur I), Nurfazliza Kamarulbahrin berkata, program menanam pokok terbaharu diadakan dipesisir Pantai Rantau Panjang, Rompin membabitkan sebanyak 2,500 pokok ru dan ketapang.

“Program diadakan secara gotong royong membabitkan penduduk setempat dan kakitangan JPNP,” katanya.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

57  +    =  67