Johor sasar pertumbuhan ekonomi capai 7 % tahun depan

 Johor sasar pertumbuhan ekonomi capai 7 % tahun depan

Hasni Mohammad menerima cenderamata daripada Presiden Kelab Media Johor, Mohd. Fauzi Ishak sambil diperhatikan oleh Mazlan Bujang pada Majlis Apresiasi PRE Ihsan Johor 3.0 kepada petugas IOW dan pengamal media di Auditorium RTM Johor Bahru

JOHOR BAHRU – Sektor ekonomi yang dilihat kembali rancak sejak kebenaran rentas negeri mampu menjadi pemangkin pertumbuhan sehingga tujuh peratus pada tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, kerajaan negeri perlu mencari jalan untuk menarik pelaburan asing baharu dan pada masa sama mengekalkan pelaburan sedia ada.

“Kita tidak tahu bila COVID-19 akan berakhir, baik dalam masa terdekat atau sebaliknya memandangkan kes baharu akan terus naik dan turun.

“Justeru, kita berharap pelaburan sedia ada perlu dikekalkan yang secara tidak langsung memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Berdasarkan pertemuan dengan duta beberapa negara Eropah, mereka menyatakan komitmen untuk teruskan pelaburan di negeri ini. Jadi, kita optimis mencapai pertumbuhan ekonomi antara lima hingga tujuh peratus tahun depan,” katanya pada Majlis Apresiasi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 kepada Petugas Info On Wheels (IOW) Jabatan Penerangan Johor dan pengamal media di Auditorium RTM Johor, di sini semalam.

Mengenai Belanjawan Johor 2022, Hasni memberitahu, ia akan memberi tumpuan terhadap usaha untuk merancakkan pelbagai sektor ekonomi secepat mungkin bagi memberi manfaat kepada rakyat.

“Kerajaan negeri yakin dapat memulihkan semula sektor ekonomi dan membantu rakyat kerana kesukaran dihadapi mereka ketika ini bukan bersifat kekal.

“Jika pakej rangsangan adalah kaedah terbaik, kita akan teruskan dan perluaskan kepada golongan penerima selain mempertimbang menambah nilai bantuan,” ujarnya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

16  +    =  17