• Friday, 18 June 2021, 2:07 am

Johor rancang beri PRE Ihsan Johor 3.0

 Johor rancang beri PRE Ihsan Johor 3.0

Datuk Hasni Mohammad, Menteri Besar Johor

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 2 Jun – Kerajaan negeri sedang merancang pemberian Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 tidak lama lagi.

Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, PRE Ihsan Johor 3.0 akan memberikan fokus kepada dua perkara iaitu pemerkasaan pengurusan pandemik negeri ini dan juga pengukuhan bantuan keselamatan sosial kepada rakyat yang memerlukan.

“PRE Ihsan Johor 3.0 ini akan diumumkan dan dilaksanakan segera supaya dapat sampai secepat mungkin kepada golongan sasar selain menggerakkan usaha pemulihan ekonomi negeri dengan lebih giat lagi.

“Bagi memastikan usaha ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan mencapai matlamatnya, saya menyeru semua pihak yang terlibat bersama-sama memainkan peranan masing-masing dengan terbaik,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Katanya, PRE itu adalah pelengkap kepada inisiatif dan bantuan kerajaan Pusat serta kesinambungan daripada PRE Ihsan Johor 1.0 pada tahun lalu dan PRE Ihsan Johor 2.0.

Setakat 23 Mei lalu, PRE Ihsan Johor 1.0 telah memanfaatkan seramai 295,464 penerima yang berjumlah RM167.33 juta.

Menurutnya, PRE Ihsan Johor 2.0 pula telah memanfaatkan seramai 387,674 penerima dan berjumlah RM109.48 juta.

“Dalam kita bersama-sama berjuang memutuskan rantaian pandemik COVID-19, patuhilah semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerana tanggungjawab dan kejayaan memerangi virus ini terletak dalam diri setiap kita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri menyambut baik dan mengalu-alukan semua inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada malam semalam.

“Saya mengikuti rapat pengumuman mengenai inisiatif Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa Plus) yang melibatkan dana RM40 bilion tersebut dan yakin semua inisiatif yang digariskan itu mampu mencapai matlamatnya, iaitu untuk mempertingkatkan kapasiti kesihatan awam, meneruskan agenda prihatin rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.

“Saya amat berterima kasih atas pelbagai usaha dan bantuan yang diberikan kepada semua lapisan masyarakat, khususnya golongan yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Beliau berkata, peruntukan yang besar diberikan dalam mempertingkatkan sektor kesihatan dan bantuan kepada rakyat merupakan usaha yang amat penting dan perlu disegerakan dalam memastikan langkah mendepani pandemik itu mampu mencapai kejayaan.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *