• Sunday, 20 June 2021, 3:36 pm

Johor rancang beri Pakej Rangsangan Ekonomi 3.0

 Johor rancang beri Pakej Rangsangan Ekonomi 3.0

JOHOR BAHRU, 28 Mei – Kerajaan negeri sedang merancang pemberian Pakej Rangsangan Ekonomi 3.0 bagi membantu dan meringankan bebanan rakyat mendepani kesan pandemik COVID-19.

Berita baik itu dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad dalam satu kenyataan semalam selepas mempengerusikan perbincangan secara maya dengan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor, hari ini.

Selain itu, kerajaan negeri turut memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi pemberian Bakul Makanan.

“Untuk makluman semua, kerajaan negeri Johor sentiasa mengutamakan aspek kebajikan dan kepentingan rakyat, khususnya dalam tempoh pandemik COVID-19.

“Pelbagai inisiatif dan bantuan telah pun diberikan kepada golongan yang terkesan dan usaha itu akan terus diperkasakan,” katanya.

Dalam memastikan proses vaksinasi dilaksanakan dengan cepat, selamat dan efektif, kerajaan negeri turut mengambil beberapa pendekatan termasuk bekerjasama erat dengan Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Sains, Tekologi dan Inovasi (MOSTI) serta semua pihak berkaitan untuk mendapatkan bekalan vaksin termasuk membeli dari Singapura.

“Selain itu, Johor lebih awal berusaha untuk mendapatkan bekalan vaksin di bawah inisiatif ImmuPlan Johor bagi mendapat bekalan vaksin tambahan sebanyak 100,000 dos yang dikhususkan kepada barisan hadapan ekonomi di negeri ini.

“Hingga 26 Mei lalu, sebanyak 85,849 permohonan telah diterima dan daripada jumlah itu 72,180 memenuhi kriteria untuk dikategorikan sebagai petugas barisan hadapan ekonomi negeri Johor.

“Diakui mengurus pandemik ini adalah satu cabaran yang besar dan pandangan serta penglibatan semua pihak termasuk daripada semua wakil rakyat amat dialu-alukan dalam memastikan kemakmuran negeri ini,” katanya sambil memaklumkan kerajaan negeri bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM50,000 kepada semua wakil rakyat.

Menurutnya, dalam perbincangan hari ini, semua wakil rakyat juga sepakat dan menyokong cadangan kerajaan negeri untuk memperkasakan peranan Pegawai Daerah, Pentadbir Tanah Daerah dan Yang Dipertua Majlis Daerah dalam usaha menangani pandemik COVID-19, khususnya dalam aspek penguatkuasaan.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *