Johor mohon tiga destinasi tumpuan diberi gelembung pelancongan

 Johor mohon tiga destinasi tumpuan diberi gelembung pelancongan

Keindahan kepulauan Mersing mampu menarik semula kedatangan pelancong ke Johor.

JOHOR BAHRU, 7 Sept — Tiga kawasan tumpuan pelancong di negeri ini, iaitu Muar, Kepulauan Mersing dan Desaru yang sudah mencapai vaksinasi lebih 80 peratus dapat diberi gelembung pelancongan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, Tourism Johor dan pemain industri pelancongan menyambut baik inisiatif gelembung pelancongan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang membenarkan destinasi mencapai kadar vaksinasi 80 peratus beroperasi.

“Selepas berbincang dengan Tourism Johor, saya ingin memohon supaya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mempertimbangkan tiga kawasan tumpuan bagi inisiatif gelembung pelancongan.

“Pertamanya, ia membabitkan Muar yang terkenal dengan panorama cantik, bangunan bersejarah dan makanan enak telah mencapai imuniti kelompok pada 4 September lalu dengan seramai 168,396 penduduk atau 84.24 peratus penduduk menerima dos lengkap.

“Keduanya, kepulauan Mersing atau lebih dikenali sebagai ‘Maldives of Malaysia’ yang mencapai 100 peratus vaksinasi atau 594 orang bagi keseluruhan penduduk dan pekerja pusat peranginan.

“Ketiganya ialah Desaru Coast yang dinobatkan sebagai antara tempat terhebat dunia 2021 oleh Majalah Time, mencapai 91 peratus vaksinasi atau 1,210 pekerja yang sudah menerima dos kedua,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebooknya, hari ini.

Onn Hafiz yakin inisiatif gelembung pelancongan akan memberikan sinar baharu kepada pemain industri pelancongan Johor yang suram sejak bermulanya pandemik COVID-19.

“Saya berharap dan memohon jasa baik kerajaan Pusat supaya dapat mempertimbangkan permohonan Johor bagi membuka semula sektor pelancongan negeri ini yang sudah lengkap vaksinasi,” katanya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

9  +  1  =