• Friday, 18 June 2021, 1:02 am

Johor cadang beberapa lokasi dijadikan PPV

 Johor cadang beberapa lokasi dijadikan PPV

KOTA ISKANDAR, 8 Jun — Kerajaan negeri mencadangkan beberapa lokasi kepada kerajaan Pusat untuk dijadikan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) swasta selain di Persada Johor bagi meningkatkan kapasiti pemberian vaksin di Johor.

Menteri Besar, Dato’ Hasni Mohammad berkata, penambahan PPV perlu kerana Johor menyasarkan untuk memberikan sebanyak 50,000 suntikan vaksin sehari hingga Oktober ini.

Menurutnya, sebagai contoh, daerah Johor Bahru ketika ini dapat memberi antara 2,900 hingga 3,000 suntikan vaksin sehari, tetapi dengan sasaran yang ditetapkan, daerah itu perlu mempunyai keupayaan untuk melakukan sebanyak 17,000 suntikan sehari.

Hasni Mohammad (tiga dari kiri) sambil diperhatikan Khairy Jamaluddin (dua daripada kanan) bertanya khabar kepada seorang penerima vaksin di PPV Persada Johor, Johor Bahru hari ini

“Jadi, selain PPV AstraZeneca (Persada Johor) kita juga mencadangkan beberapa lokasi seperti membangunkan PPV swasta di kawasan pusat beli-belah atau PPV pandu lalu di taman tema di daerah ini.

“Ini termasuk beberapa PPV swasta di daerah Batu Pahat, Pagoh dan Kluang bagi mencapai sasaran pemberian vaksin,” katanya selepas menerima kunjungan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Menteri Besar memaklumkan bahawa kerajaan negeri tidak akan melaksanakan ujian saringan COVID-19 secara besar-besaran, sebaliknya saringan bersasar di kawasan berisiko.

Menurutnya, sebanyak 20,000 kit ujian Antigen Rapid Test (RTK-Ag) akan digunakan bagi tujuan saringan bersasar di Johor Bahru ekoran peningkatan kes COVID-19 yang dilaporkan di daerah itu.

“Kit ujian RTK-Ag yang diterima dari Singapura melalui Yayasan Sultan Ibrahim ini mampu memberi keputusan ujian COVID-19 dalam tempoh lima minit dan ketepatan mencapai 98 peratus.

“Oleh itu, kita mengharapkan kit ujian RTK-Ag ini dapat membantu mengesan lebih awal kes jangkitan COVID-19, seterusnya dapat mendatarkan lengkungan kes baharu terutamanya di kawasan Johor Bahru,” katanya.

Hasni dan Khairy Jamaluddin turut meninjau PPV Persada Johor selepas itu.

Nurman Nasyriq

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *