Johor beri insentif kepada atlet Olimpik, Paralimpik Tokyo 2020

 Johor beri insentif kepada atlet Olimpik, Paralimpik Tokyo 2020

Wei Lun antara atlet kelahiran Johor yang menerima insentif daripada kerajaan negeri yang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad, hari ini.

ISKANDAR PUTERI, 21 Sept — Pemenang pingat perak acara Boccia Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Chew Wei Lun menerima insentif berjumlah RM15,000 daripada kerajaan negeri, hari ini.

Turut menerima insentif itu ialah seorang lagi atlet paralimpik, iaitu Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin, yang menyertai acara olahraga T20, menerima RM5,000 sebagai insentif penyertaan.

Selain Wei Lun dan Siti Noor Iasah, dua jurulatih, Sallehudin Mohd. Noh (para basikal) dan Muhammad Ashaari Zainal Abidin (para tenis) turut menerima RM5,000 setiap seorang.

Insentif sama turut diberikan kepada atlet Olimpik Tokyo 2020, iaitu atlet berbasikal Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Nur Aisyah Jamil (pelayaran), Kelly Tan Guat Chen (golf) dan Syaqiera Mashayikh (memanah).

Insentif berkenaan disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad dalam satu majlis di Kota Iskandar, di sini.

Pemberian insentif itu bagi menghargai atlet kelahiran Johor yang bertanding dalam temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang berlangsung, baru-baru ini.

Sementara itu, Hasni berkata, kerajaan negeri akan memastikan kemudahan infrastruktur sukan akan dipertingkat selari dengan lahirnya tokoh atlet yang melakar nama di peringkat antarabangsa.

“Persatuan sukan memainkan peranan penting dalam membantu atlet bukan sahaja untuk melakar kejayaan, malah juga terhadap kebajikan mereka.

“Apabila atlet terlibat sudah tidak lagi dapat bersaing atas pelbagai faktor, sama ada usia atau kesihatan, sepatutnya pengalaman dan ilmu yang ada pada mereka dapat dimanfaatkan, sekali gus untuk kemajuan sukan berkenaan pada masa depan,” ujarnya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *