Johor benarkan 8 daerah solat 1/3 jemaah mulai esok

 Johor benarkan 8 daerah solat 1/3 jemaah mulai esok

JOHOR BAHRU, 4 Mac — Johor membenarkan solat Jumaat dan solat fardu dijalankan dengan kehadiran jemaah satu pertiga kapasiti sebenar masjid dan surau di lapan daerah di negeri itu mulai esok, selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Tosrin Jarvanthi dalam satu kenyataan hari ini berkata lapan daerah berkenaan ialah Muar, Batu Pahat, Segamat, Kluang, Pontian, Kota Tinggi, Mersing dan Tangkak.

Bagaimanapun, beliau berkata daerah Johor Bahru dan Kulai dibenarkan 100 jemaah untuk solat fardhu dan Jumaat mulai esok berikutan status COVID-19 daerah berkenaan masih berada di zon merah.

“Jumlah jemaah adalah tidak termasuk Ahli Jawatankuasa (AJK) dan pegawai masjid dan surau. Kebenaran menambah anggota jemaah adalah selepas mendapat perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar pagi ini,” katanya dalam kenyataan itu.

Menurutnya, kuliah agama di masjid dan surau adalah dibenarkan namun perlu dilaksanakan oleh penceramah dan guru takmir dalam daerah berkenaan sahaja.

“AJK masjid dan surau hendaklah sentiasa bertanggungjawab memastikan dan menguatkuasakan semua prosedur operasi standard Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor dipatuhi sepenuhnya,” katanya.

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

72  −    =  71