Johor alu-alukan cadangan bangunkan LRT

 Johor alu-alukan cadangan bangunkan LRT

Hasni (tengah) merasmikan Pusat Komuniti Kampung Bakar Batu, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri menyambut baik cadangan sebuah konsortium untuk membangunkan projek tren Transit Aliran Ringan (LRT) bagi menambah baik sistem pengangkutan awam di bandar raya ini.

Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, projek LRT yang dicadangkan itu mampu memberi nilai sokongan terhadap pembangunan Sistem Transit Rapid (RTS) antara Johor Bahru dan Singapura.

Menurutnya, lebih 100,000 pengguna bakal menerima manfaat daripada pembangunan RTS yang bertujuan mengurangkan kesesakan, selain memberi keselesaan kepada rakyat di negeri ini yang berurusan dengan Singapura.

“Kalau dibina sistem sokongan seperti LRT, ia akan dapat menjadi satu rancangan pembangunan infrastruktur rel yang berdaya maju. Lebih 100,000 pengguna memadai dan mencukupi untuk dibangunkan sistem LRT di Johor Bahru.

“Menerusi cadangan daripada pihak konsortium itu juga, fasa pertama daripada tujuh fasa pembangunan LRT itu melibatkan pembangunan rel di sepanjang jajaran Jalan Tun Razak.

“Cadangan itu diharap dapat mengukuhkan sistem pengangkutan awam sedia ada di Terminal Larkin dan kawasan Bandar Baru Uda,” katanya pada Majlis Perasmian Pusat Komuniti Kampung Bakar Batu, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Ayub Jamil dan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman.

Justeru, Hasni meminta kerjasama semua pihak termasuk masyarakat setempat bagi memastikan pembangunan itu dapat  direalisasikan supaya dapat memberi manfaat kepada  pelbagai pihak.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

8  +  2  =