JKNP kesan golongan tercicir suntik vaksin COVID-19

 JKNP kesan golongan tercicir suntik vaksin COVID-19

Dr Nor Azimi meninjau pemberian vaksin kepada remaja pada program vaksinasi COVID-19 untuk gelandangan dan komuniti lorong Wong Ah Jang di Surau Al- Hidayah.

KUANTAN, 14 Okt — Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) berusaha mengesan golongan tercicir melalui program Outreach di seluruh negeri ini bagi memastikan semua penduduk menerima suntikan vaksin COVID-19.

Pengarahnya, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, pendekatan itu diambil selepas mengambil kira sebahagian penduduk negeri ini yang tinggal di kawasan pedalaman tidak mempunyai kemudahan teknologi serta kenderaan untuk ke pusat pemberian vaksin (PPV).

Menurutnya, setakat ini sudah 85 peratus populasi dewasa sudah mendapat suntikan dos pertama vaksin COVID-19 daripada seramai 1.175 juta penduduk.

“Mengikut pendaftaran aplikasi MySejahtera sebahagian besar sudah menerima suntikan vaksin COVID-19, tetapi kita yakin masih ada lagi mereka yang tercicir. Mereka kemungkinan tidak mendaftar disebabkan ada masalah seperti kekangan teknologi, berada di kawasan pedalaman, ketiadaan talian telefon dan sebagainya.

“Kita akan berusaha mencari  dan mendekati mereka yang tercicir menerusi program Outreach, kita ingin memastikan mereka menerima suntikan vaksin COVID-19 supaya peratus imuniti berkelompok dapat dicapai sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program vaksinasi COVID-19 gelandangan dan komuniti lorong Wong Ah Jang di Surau Al- Hidayah Komuniti, di sini semalam.

Beliau berkata, pihaknya juga kini berusaha mengesan golongan remaja berumur 12 hingga 17 tahun untuk memberi vaksin.

Dr Nor Azimi berkata, menjangkakan seramai 100 gelandangan dan komuniti lorong Wang Ah Jang terdiri daripada golongan dewasa dan remaja akan menerima suntikan vaksin COVID-19 pada program yang diadakan.

Menurutnya, berdasarkan rekod seramai 1,286 remaja di seluruh Pahang adalah kumpulan tercicir yang terdiri daripada gelandangan, orang kurang upaya (OKU) dan mereka yang tidak bersekolah.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  +  43  =  52