JKM sedia 140 pangkalan hadapan

 JKM sedia 140 pangkalan hadapan

Pengarah JKM Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin (kiri) ketika mengagihkan bantuan bencana untuk pangkalan hadapan di Pulau Tioman.

KUANTAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang menyediakan sebanyak 140 pangkalan hadapan di negeri ini bagi menghadapi musim tengkujuh kali ini.


Pengarahnya, Zulkhairi Zainol Abidin berkata, pejabat penghulu, masjid, dewan serbaguna dan balai raya antara tempat dijadikan stor pangkalan hadapan yang menempatkan barangan bantuan bencana untuk keperluan mangsa banjir.


Menurutnya, daerah Temerloh terbanyak pangkalan hadapan iaitu 34 diikuti Kuantan (18), Jerantut (16), Pekan (14), Rompin (12), Lipis (12), Maran (11), Bera (11), Raub (10) dan Bentong (2).


Katanya, setiap pangkalan hadapan menempatkan antara lapan hingga sembilan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, biskut, sardin dan kopi yang mampu bertahan antara 10 hingga 14 hari.


“Proses menghantar barangan kesetiap pangkalan hadapan di negeri ni sebagai persediaan bencana bermula 29 Oktober dan akan berakhir 18 November ini.


“Penghantaran barangan menggunakan jalan darat dan air, sebagai contoh tiga kargo digunakan untuk menghantar 31 tan barangan bantuan ke lima pangkalan hadapan di Pulau Tioman,” katanya, di sini hari ini.


Beliau berkata, kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM2.5 juta bagi menyediakan barangan bantuan bencana kali ini, jumlah berkenaan bertambah berbanding tahun lalu.Zulkhairi berkata, pertambahan berkenaan berlaku disebabkan beberapa faktor antaranya jumlah jenis barangan yang bertambah daripada lapan jenis kepada sembilan dan jumlah hari menggunakan barangan daripada seminggu kepada dua minggu.


“Proses menghantar barangan ke pangkalan hadapan di Jerantut membabitkan beberapa kampung di Ulu Tembeling akan dilakukan minggu depan menggunakan bot.


“Kerjasama diberikan beberapa agensi kerajaan seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Pejabat Tanah dan Daerah melancarkan kerja menghantar barangan kesetiap pangkalan hadapan di negeri ini,” katanya.

WMY

WMY@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *