JKM luluskan 23,000 permohonan baharu bantuan

 JKM luluskan 23,000 permohonan baharu bantuan

Datuk Seri Rina Mohd Harun

PUTRAJAYA, 1 Julai — Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meluluskan sebanyak 23,000 permohonan baharu sehingga hari ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Harun berkata, permohonan baru yang semakin meningkat melibatkan golongan miskin tegar dan rakyat yang terkesan akibat COVID-19.

“Terdapat pelbagai kategori bantuan dari golongan kanak-kanak, orang kelainan upaya (OKU), warga emas dan miskin tegar. Kebanyakan mereka hilang pekerjaan dan tiada sumber pendapatan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah beliau, KPWKM tidak mahu mengekalkan pemohon bantuan ini sebagai penerima bantuan selamanya malah, KPWKM komited untuk keluarkan mereka dari kepompong kemiskinan.

“Kerjasama dengan kementerian lain akan dipergiatkan untuk tujuan itu,” katanya.

Aktiviti seperti ‘Job Matching’ antara pekerja dengan majikan giat dijalankan walaupun tawaran kerja itu bukan dari KPWKM sendiri, namun kebanyakkan pencari kerja adalah dari kalangan kumpulan sasar KPWKM.

“Semua pihak dapat memainkan peranan  untuk keluar dari kemelut COVID-19,” katanya.

Sehubungan peningkatan pemohonan bantuan, KPWKM juga menyedari peningkatan keperluan sokongan sosial.

“KPWKM akan melancarkan Pusat sokongan sosial setempat secara bergerak dalam masa terdekat,” katanya.

Setakat ini setiap daerah mempunyai seorang pegawai yang ditugaskan di pejabat JKM untuk sokongan sosial dan kaunseling.

“Akan datang, Lembaga Kaunselor Malaysia, JKM, dan LPPKN akan bekerjasama bagi mewujudkan pusat sokongan sosial setempat secara bergerak ini,” katanya.

Tambah beliau, walaupun terdapat perkhidmatan seperti Talian Kasih , Talian Nur, ada rakyat yang lebih suka bersemuka.

“Kita akan mula dengan tujuh buah kenderaan seperti bas dan kawasan sasaran awal akan bergantung kepada kepadatan penduduk,” katanya.

Selain itu Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) turut mencadangkan kerjasama dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk menjadikan masjid sebagai pusat perlindungan sementara kepada mangsa keganasan rumah tangga serta pusat khidmat kaunseling.

“Masjid dan surau juga boleh dijadikan tempat rakyat mendapatkan sokongan dan bimbingan kaunseling dan sebagai tempat luahan hati bagi yang terjejas secara emosi,” katanya.

Beliau berharap program itu dapat diperluaskan seluruh negara.

“Bagi tujuan tersebut JKM sudah  melatih 12 orang jawatankuasa masjid di Wilayah Persekutuan,” katanya.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  +  50  =  53