JKM agih 28,097 bakul makanan Permai di Pahang

 JKM agih 28,097 bakul makanan Permai di Pahang

KUANTAN, 20 Jun – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang mengagihkan sebanyak 28,097 bantuan bakul makanan Permai kepada ketua isi rumah (KIR) yang layak berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Pengarah JKM Pahang Zulkhairi Zainol Abidin berkata, program agihan secara berperingkat bermula April lalu dan hanya akan selesai sepenuhnya akhir bulan ini.
Menurutnya, program bakul makanan Permai bernilai RM100 setiap satu itu dan hanya diberikan kepada individu yang layak sahaja dan kebanyaknya diberikan kepada penerima bantuan bulanan JKM seluruh negeri ini.

Katanya, pegawai JKM diperingkat daerah bertanggungjawab sepenuhnya mengagihkan bantuan berkenaan yang terdiri daripada barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, tepung, sardin, mee hoon dan gula.

“Daerah ini menjadi penerima terbanyak program bakul makanan Permai iaitu sebanyak 6,388 diikuti Temerloh (3,759), Pekan (3,662), Lipis (2,300), Bentong (2,114), Bera (2,002),Rompin (1,972) dan Jerantut (1,937).

Pengarah JKM Pahang Zulkhairi Zainol Abidin (kanan) menyerahkan bantuan bakul makanan Permai kepada penduduk Pulau Tioman. Foto WMY/Mohd Fikri Mie

“Daerah Raub menerima sebanyak 1,567 diikuti Maran (1,565) dan Cameron Highlands (576),” katanya, dihubungi, di sini hari ini.
Beliau berkata, bantuan yang diberikan diharapkan dapat meringankan beban golongan kurang berkemampuan meneruskan kehidupan sepanjang PKP 3.0 yang akan berakhir pada 28 Jun akan datang.

Zulkhairi berkata, tidak dinafikan golongan penerima bantuan bulanan JKM terkesan dengan pelaksanaan PKP 3.0 yang bertujuan untuk menyekat penularan wabak COVID-19 di negara ini, tindakan kerajaan itu demi menjamin kesejahteraan dan kesihatan rakyat.

“Saya berharap masyarkat dapat terus bersabar sebaliknya tidak bertindak menyalahkan mana-mana pihak, patuhilah prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

“Saya yakin kerajaan akan terus berusaha membela nasib rakyat bagi memastikan mereka tidak terus tertekan,” katanya.

Mohd Fikri Mie

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *