Jijoe harap lebih ramai rakannya layak ke Paris 2024

 Jijoe harap lebih ramai rakannya layak ke Paris 2024

(Gambar fail) TOKYO 08 Ogos 2021. Pelumba basikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang berjaya merangkul pingat perak pertama negara dalam Olimpik Tokyo di gelanggang Izu Velodrome Shizuoka. AFP/Odd Andersen

KUALA LUMPUR, 15 Sept —  Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mengharapkan lebih ramai rakan seperjuangannya dalam kem berbasikal trek layak ke temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Malah, Azizulhasni yang bakal berusia 36 tahun ketika itu turut tidak ‘keberatan’ sekiranya rakan sepasukannya yang lebih muda, Muhammad Fadhil Mohd Zonis ataupun Muhammad Shah Firdaus Sahrom mempamerkan prestasi cemerlang sekali gus menamatkan penantian pingat emas sulung negara.

“Kita ada tempoh yang tak panjang tetapi apa pun boleh berlaku,” katanya ketika menjadi tetamu Webinar Edisi Khas sempena sambutan Bulan Kemerdekaan UiTM: Inspirasi Perjuangan Dari Bumi Tokyo anjuran Universiti Teknologi Mara, hari ini yang turut disertai Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin.

“Saya akan cuba sedaya upaya untuk mengekalkan prestasi dan meningkatkan lagi (kemampuan diri). Saya akan membantu Shah dan Fadhil untuk berada di tahap tertinggi yang termampu.

“Andai kata di Paris nanti Shah atau Fadhil lebih mempunyai peluang untuk menang, lebih menunjukkan prestasi dan cemerlang daripada saya, sudah tentu saya akan membantu mereka sebanyak mungkin.

“Kalau pada masa itu saya masih relevan, tentunya saya akan beraksi sepenuh keringat. Seperti mana saya kongsikan dengan media, Paris 2024 adalah kayuhan legasi saya yang terakhir, selepas itu saya akan bersara.

“Bagi saya, lebih ramai lebih baik kerana ia dapat menyuntik lebih banyak semangat dan memberikan keyakinan untuk atlet Malaysia yang lain. Jangka masa itu tidak jauh, harap dapat doakan kepada saya bukan saja untuk kem berbasikal tetapi juga seluruh kontinjen.”

Beliau dikenali sebagai ‘The Pocket Rocketman’  itu turut menjelaskan, kem berbasikal trek kebangsaan juga menumpukan kepada Sukan Komanwel dan Sukan Asia yang dijadualkan pada tahun depan dan fokus seterusnya memburu kelayakan ke Paris 2024 dalam acara berpasukan.

“Untuk Paris, kita akan fokus kepada acara berpasukan iaitu pecut berpasukan untuk saya, Shah dan Fadhil layak. Saya tak nampak kenapa kita tak boleh layak ke sana kerana kita adalah sebuah pasukan kukuh. Saya lihat, Shah dan Fadhil sudah bersedia ke tahap seterusnya iaitu Olimpik.

“Kita hampir menang pingat emas di Sukan Asia Jakarta 2018, kita cuma tercicir sedikit saja di final. Pada masa itu, mungkin ada salah seorang daripada kami belum bersedia sepenuhnya.

“Namun sekarang, mereka sudah bersedia dan berharap pada 2023 dan 2024, mereka boleh memberikan sepenuh keringat untuk acara berpasukan ini supaya dapat melayakkan diri,” katanya.

 

Muhammad Iqhwan Hakim Abdullah

iqhwan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  17  =  26