Jenggo-jenggo pelahap di tiga lubuk rahsia

 Jenggo-jenggo pelahap di tiga lubuk rahsia

Oleh Zulkarnain Omar

 

KUANTAN, 24 Feb: Khazanah udang galah sepit biru di sungai ini memang hebat. Berdasarkan gambar yang dipaparkan, ternyata sungai ini lubuk si jenggo-jenggo yang menjadi idaman selera semua orang. Siapa yang menolak lauk udang galah?

Namun selepas difikirkan semasak-masaknya, akhirnya Wacana.my membuat keputusan untuk tidak menulis nama sungai tersebut. Biarlah khazanah itu menjadi sumber rezeki penduduk tempatan dan asalkan tidak menjadi sasaran pemburu atau penjenayah alam yang akan menyiram tuba tengkorak, memukat atau mencelup rod elektrik untuk memunggah khazanah secara dari lubuk sungai ini sehingga memusnahkan ekosistem dan sumber pupus.

(Nota: Bahagian VI Kesalahan-Kesalahan Akta Perikanan 1985 menyebut, menggunakan atau cuba menggunakan apa-apa bahan letupan, racun atau pencemar, atau apa apa perkakas yang menggunakan arus elektrik, atau apa-apa alat yang dilarang, bagi maksud membunuh, melali, mencacatkan atau menangkap ikan, atau dengan apa jua cara lain menyebabkan ikan itu lebih senang ditangkap adalah satu kesalahan. Pada masa sama, membawa atau mempunyai dalam miliknya atau di bawah kawalannya apa-apa bahan untuk tujuan itu juga satu kesalahan yang boleh dikompaun dan penjara).

Kali ini, dua sahabat karib – Tengku Hussain Tengku Musa dan Wan Kamarudin Wan Abdul Latif, menjejak lubuk spesies itu pada jarak kira-kira 4 kilometer dari muara sungai.

Sememangnya mereka sudah arif dengan penghuni habitat ini yang sedang galak meratah umpan. Apatah lagi selepas musim tengkujuh hampir ke penghujung, kini masanya yang amat sesuai untuk memulakan pemburuan si sepit biru. Musim ini kebiasaannya bermula antara Januari hingga April dan sesi musim kedua – Oktober hingga Disember atau sebelum musim tengkujuh tiba.

Tengku Husain dengan hasil yang memberansangkan

Diet si jenggo-jenggo di sungai ini ialah perumpun, anak udang beras dan ruat. Tengku Hussain dan Wan Kamarudin sudah menyediakannya. Ketiga-tiga umpan ini menjadi kegemaran  menyebabkan udang galah tidak menunggu masa yang lama untuk meragutnya. Kali ini, dua sahabat itu merancang pemburuan di Lubuk Siku dan Lubuk Pokok Api-Api. Ia menjadi lubuk rahsia dua sahabat itu setiap kali menjejakan kaki ke sungai ini .

Antara tip memancing udang galah ialah tahu bila pasang surut air sungai. Dua sahabat itu tahu hal ini. Setibanya mereka di Lubuk Pokok Api-Api, umpan terus diturunkan. Selang beberapa minit kemudian, umpan mula diusik.

Joran dua sahabat itu tiba-tiba melengkung kerana tali ditarik mangsa di dasar.  Ternyata dari gaya pecutan dan seretan tali, sang jenggo sudah mengena. Henjutan ganas dan kasar sehingga drag mesin berbunyi menambahkan lagi debaran pemancing dalam bot.

Awas, jangan sesekali memberi peluang si jenggo melarikan umpan lubuk di dasar sungai yang banyak ranting kayu. Jika ini berlaku, pemancing akan berputih mata.

Selang beberapa minit pertarungan, udang dengan sepasang sepit biru dan berlumut menampakkan dirinya tanda mengalah.

Di lubuk ini sahaja tidak kurang 10 ekor udang galah kasar didaratkan. Ini tidak termasuk yang bersaiz B. Purata berat setiap ekor dianggarkan di antara 150 hingga 350 gram. Serangan bertali arus membuatkan dua sahabat karib itu leka melayan si penghuni lubuk.

Ada juga yang rabut atau mata kail terlucut dari mulut mangsa. Lewat petang, mereka menuju pula kedua – Lubuk Kayu. Selepas menjumpaskan mangsa di situ, Tengku Hussain dan Wan Kamarudin beralih ke lokasi terakhir iaitu Lubuk Siku.

Kepuasan terpancar apabila hasil tangkapan yang diperolehi amat memberangsangkan seperti gambar serta video yang dikongsikan ini dan berharap dapat mengulangi kejayaan dalam masa terdekat di ketiga-tiga lubuk rahsia itu.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

84  −    =  77