Jenayah ekonomi halang pemulihan ekonomi

 Jenayah ekonomi halang pemulihan ekonomi

Oleh Mohd Kamal Ahmad

KUALA LUMPUR, 9 Mac — Satu strategi dan pelan tindakan nasional pelbagai disiplin serta menyeluruh bagi menangani jenayah ekonomi adalah kritikal bagi membolehkan pemulihan ekonomi pasca COVID-19 dan meningkatkan minat kemasukan pelaburan terus asing (FDI).

Pengerusi Koperasi Pelita Biru Berhad (KPBB), Datuk Dr Yusoff Nook berkata, sekarang masa yang sesuai untuk membentuk strategi dan pelan tindakan nasional menentang jenayah ekonomi.

“Dengan bermulanya vaksinasi COVID-19 dan berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bandar-bandar utama, sebagai sebuah negara, kita perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada pemulihan ekonomi.

“Kita tidak mampu membiarkan jenayah ekonomi menyebabkan usaha kita untuk memperbaiki kehidupan dan perniagaan yang terjejas oleh pandemik ini, tergelincir daripada landasannya.

“Strategi dan pelan tindakan nasional bagi menentang jenayah ekonomi ini mesti meliputi semua dan dibangunkan dengan input dan saranan daripada cawangan penguat kuasaan yang relevan, agensi awam dan sektor swasta. Inisiatif ini juga mesti diterajui dan disokong oleh peringkat tertinggi dalam Kerajaan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan kepada Wacana.my semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pendedahan terbaharu berkenaan skandal kewangan 1MDB serta laporan mengenai aktiviti penyeludupan yang berleluasa melibatkan daging, rokok dan barangan keperluan harian.

Dr Yusoff berkata: “Skandal kewangan, pasaran gelap yang tidak terkawal dan rasuah adalah jenayah ekonomi yang memusnahkan setiap segmen masyarakat kita. Kerajaan terus kerugian berbilion Ringgit setiap tahun kerana jenayah sebegini manakala struktur masyarakat kita diancam oleh elemen jenayah dan budaya kleptokrasi.”

“Selain kehilangan pendapatan, jenayah ekonomi juga menghalang pelabur asing daripada melabur di Malaysia. Kebimbangan berkaitan harta intelek, keselamatan individu dan daya maju pasaran dalam persekitaran di mana undang-undang dianggap tidak ada, akan menyebabkan bakal pelabur berfikir dua kali sebelum mereka memindahkan kemudahan atau operasi perniagaan ke negara kita,” katanya.

Dr Yusoff berkata, tindakan terbaharu kerajaan untuk membanteras penyeludupan rokok seludup seperti dinyatakan dalam Bajet 2021 dengan mengukuhkan Pasukan Petugas Pelbagai Agensi(MATF) dengan kemasukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan adalah contoh terbaik pendekatan pelbagai disiplin untuk melawan jenayah ekonomi.

“Penyeludupan rokok adalah jenayah ekonomi yang besar dari segi pendapatan cukai yang tidak dibayar setiap tahun. Kadar yang tinggi bagi rokok seludup ini telah berterusan sejak 2016 dan kerajaan sebelum ini telah cuba untuk menyelesaikan masalah ini, tetapi gagal. Saya berharap lebih banyak pelan dan tindakan yang lebih baik dan menyeluruh dilakukan oleh MATF bagi menangani masalah ini memandangkan kita sudah memasuki akhir suku pertama 2021,” katanya.

Beliau menegaskan, MATF boleh dan mesti memainkan peranan lebih besar dalam menangani jenayah ekonomi. Selain itu, pasukan petugas merentasi agensi seperti MATF juga boleh menyumbang kepada strategi dan pelan tindakan nasional bagi melawan jenayah ekonomi dengan menyarankan perubahan pada peringkat dasar yang boleh memberi kesan lebih menyeluruh.

“Sebagai contoh, MATF boleh mencadangkan dasar-dasar yang boleh mengurangkan jurang perbezaan harga yang tinggi antara rokok seludup dan rokok sah, yang menjadi punca menggalakkan penyeludup untuk melakukan jenayah ekonomi ini. MATF juga boleh menyarankan penalti lebih berat dan mungkin juga boleh mencadangkan sistem ganjaran kepada pegawai penguat kuasa yang boleh menambah baik keberkesanan dan kecekapan,” tambahnya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  37  =  40