JDT vs KDA FC : Pertembungan dua seteru utama dinantikan

 JDT vs KDA FC : Pertembungan dua seteru utama dinantikan

Oleh Iqhram Ahmad 

 KUALA LUMPUR, 4 Mac. – Perlawanan bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah antara juara Liga Super 2020 Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Jumaat ini, bakal membuka tirai kepada persaingan Liga Malaysia (Liga M) 2021.

Perlawanan Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor, merupakan pertembungan kali keempat kedua-dua pasukan dalam lima edisi, sejak musim 2017.

Pada masa yang sama, pertemuan antara Selangor FC dan Sri Pahang FC yang dijadualkan pada 6 Mac di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya turut menjadi perlawanan tumpuan minggu pertama Liga Super.

Selain itu, perlawanan antara naib juara Liga Perdana 2020 Terengganu FC II (TFC II) dengan pasukan baharu Skuad Projek FAM-MSN di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pula menjadi aksi menarik minggu pertama Liga Perdana 2021, yang turut membuka tirai pada 6 Mac.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah mengeluarkan jadual rasmi saingan Liga Malaysia pada 20 Feb lalu, di mana tiada kejohanan Piala FA bagi musim 2021.

“MFL berharap kesemua pasukan dapat melakukan persiapan terbaik dalam memastikan persembahan berkualiti, selepas jadual liga ini dikeluarkan.

“Pada masa sama, MFL turut berharap kesemua pasukan akan sentiasa kekal patuh dengan setiap SOP, di mana setiap pasukan telah pun diberi kebenaran mengadakan program latihan berpusat secara gelembung, menerusi dua kaedah iaitu ‘Home’ dan ‘Camp Quarantine,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, MFL percaya keharmonian saingan Liga-M kekal terjaga sekiranya semua pihak memainkan peranan dengan baik, dalam mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Selain itu, Abd Ghani juga berharap kerajaan dapat membenarkan kehadiran penonton ke stadium berskala kecil, jika kes positif Covid-19 menurun pada masa akan datang selepas turut mengusulkan cadangan itu melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada November lepas.

“Itulah harapan MFL, kami mahu venue diceriakan dengan kehadiran penyokong bola sepak tempatan. MFL mengucapkan terima kasih kepada KBS atas sokongan kepada bola sepak tempatan, sepanjang kempen Liga M 2020 dan bagi musim 2021,” katanya.

Mengikut statistik dan latar belakang skuad, JDT dijangka menang dan melanjutkan rekod 17 perlawanan tanpa kalah dalam semua pertandingan.

Semalam, JDT mengesahkan pembelian penyerang import Brazil baharu, Bergson Da Silva yang menyertai kelab bola sepak itu dari pasukan Serie A Brazil, Fortazela.

Sementara itu, Ketua Jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak berkata JDT mempunyai kelebihan memiliki pemain hebat di semua posisi sekali gus menjadikan pasukan dari selatan itu sebagai pasukan pilihan untuk membawa balik Piala Sultan Ahmad Shah itu.

“Walaubagaimanapun, KDA FC akan melakukan terbaik dalam perlawanan nanti dan dari segi persiapan untuk perlawanan itu, ia sama sahaja seperti perlawanan-perlawanan sebelum ini,” katanya.

Sebelum ini, Kedah ditewaskan JDT sebanyak dua kali dalam perlawanan merebut Piala Sultan Ahmad Shah  atau juga dikenali sebagai Piala Sumbangsih iaitu 1-2 pada 2018 dan 0-1 musim lepas.

 

 

 

 

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

4  +  4  =