JDT terus selesa di puncak, Sarawak United rampas takhta Liga Premier

 JDT terus selesa di puncak, Sarawak United rampas takhta Liga Premier

KUALA LUMPUR, 10 April — Juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) kini selesa menerajui takhta Liga Super dengan perbezaan empat mata selepas mencatat kemenangan keenam musim ini apabila menundukkan Petaling Jaya City FC 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam ini.

Skuad kendalian Benjamin Mora yang masih mengekalkan rekod tanpa kalah setakat ini memanfaatkan 45 minit pertama perlawanan untuk meledak tiga gol dengan dua daripadanya dijaringkan penyerang import dari Brazil Bergson da Silva sementara satu gol disumbangkan pemain import dari Argentina Gonzalo Cabrera.

Beraksi di laman sendiri, JDT memulakan perlawanan penuh bergaya selepas berjaya meledak gol pembukaan seawal minit pertama hasil tandukan Cabrera yang bijak memastikan dirinya tidak dikawal pertahanan lawan dalam kotak penalti.

Sementara da Silva mengumpul jaringan kelapan peribadinya musim ini menerusi dua gol, masing-masing hasil rembatan deras kaki kiri dari luar kotak penalti pada minit ke-20 diikuti gol ketiga JDT yang mudah ditolak menggunakan kaki kanan selepas menerima umpan dalam kawasan penalti pada minit ke-30.

Selepas lapan perlawanan, JDT mengumpul 20 mata sementara Kedah Darul Aman FC di tempat kedua (16 mata) dan Terengganu FC di kedudukan ketiga meraih 15 mata.

Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Kuala Lumpur City FC mencatat kemenangan kedua musim ini selepas mengatasi pasukan di tangga kedua tercorot liga, Sri Pahang FC dengan keputusan 2-1 hasil jaringan Paulo Josue pada minit ke-18 dan Daniel Ting yang menjaringkan gol pertamanya musim ini pada minit ke-70.

Gol sagu hati skuad Tok Gajah dijaringkan Herold Goulon pada masa kecederaan babak kedua perlawanan.

Sementara itu, jaringan hatrik penjaring terbanyak Liga Super musim lalu Ifedayo Olusegun memastikan Selangor FC menundukkan musuh tradisi Perak FC 3-1 di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya.

Pemain kelahiran Nigeria itu meledak gol pada minit kelapan, ke-31 dan ke-71 sementara gol tunggal skuad ‘The Bos Gaurus’ hasil jaringan pemain gantian Mohammad Farid Khazali pada masa kecederaan babak kedua perlawanan.

Melaka United FC turut mencatat kemenangan selesa apabila mudah mengatasi pasukan tercorot UiTM FC 3-0 di Stadium UiTM menerusi jaringan Sony Norde pada minit ke-36, Stefan Nikolic (minit ke-60) dan S.Kumaahran (minit ke-65).

Dalam pada itu, aksi Liga Premier menyaksikan Sarawak United merampas takhta liga daripada Negeri Sembilan FC apabila berpesta gol membelasah Skuad Projek FAM-MSN 7-1 di Stadium Hang Jebat, Melaka dengan penyerang import dari Nigeria Uche Agba meledak empat gol pada aksi tersebut.

Terdahulu, Kelantan FC berjaya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Kuching City FC 1-0 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV pada aksi yang berlangsung sebelah petang.

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

7  +  1  =