JDT sah juara Liga Super kali kelapan

 JDT sah juara Liga Super kali kelapan

JDT terus mengungguli Liga Super buat kali kelapan berturut-turut.

ISKANDAR PUTERI, 28 Ogos — Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan kejuaraan Liga Super musim ini menjadi milik mereka selepas menjinakkan skuad Tok Gajah 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam tadi.

Kemenangan tersebut menyaksikan skuad Harimau Selatan mempertahankan kejuaraan yang dimenangi buat lapan musim berturut-turut sejak memenanginya pada 2014.

Jaringan hatrik Bergson Da Silva pada babak pertama itu melengkapkan malam gemilang buat skuad kendalian Benjamin Mora.

Bergson membuka jaringan pada minit kelapan apabila menghukum kesilapan pemain lawan dengan merampas hantaran ke belakang Zazrir Naim dan memperdaya tiga pertahanan sebelum meledak rembatan deras menewaskan penjaga gol, Daniel Wafiuddin Sa’dun.

Pada minit ke-41, Safiq Rahim bijak mengumpan bola kepada Bergson yang bersahaja membuat sepakan lambung menewaskan penjaga gol.

Tiga minit berselang, Bergson sekali lagi menjadi igauan ngeri buat Daniel Wafiuddin yang melengkapkan hatrik setelah bijak bermain satu dua dengan Gonzalo Cabrera sebelum melepaskan rembatan rendah pada minit ke-44.

Bersambung babak kedua, skuad bimbingan Dollah Salleh cuba bangkit pada perlawanan itu untuk sekurang-kurangnya memecahkan kebuntuan jaringan.

Namun, percubaan demi percubaan yang dilakukan oleh Kenny Athiu dan Manuel Hidalgo gagal menewaskan penjaga gawang Farizal Marlias.

Kedua-dua pasukan saling melakukan serangan ke arah kubu lawan namun keputusan kekal hingga wisel penamat.

Juara baharu Liga Super itu perlu mengharungi lagi perlawanan menentang Terengganu FC dan Kuala Lumpur FC pada 4 dan 12 September ini.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

22  +    =  25