JDT menang stadium terbaik dunia

 JDT menang stadium terbaik dunia

Oleh Iqhram Ahmad

KUALA LUMPUR, 12 Mac. – Hasil titik peluh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim sekali lagi membuahkan hasil apabila stadium rasmi pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Stadium Sultan Ibrahim, dinobatkan pemenang anugerah ‘Stadium Of The Year 2020’.

Menurut kenyataan akaun rasmi Facebook JDT, Johor Southern Tigers, Stadium Sultan Ibrahim menerima 64,240 mata mengatasi Stadium Allegiant di Las Vegas (23,390) dan Stadium Ahmad bin Ali di Qatar (22,341).

Venue rasmi pasukan JDT itu adalah stadium khusus bagi sukan bola sepak dan merupakan stadium tanpa trek larian pertama di Malaysia.

Stadium yang dikatakan paling canggih di negara ini dipilih sebagai pemenang untuk kategori undian awam.

Menerusi laman web rasmi StadiumDB.com, Stadium Sultan Ibrahim adalah venue pertama di Malaysia yang tersenarai dalam laman web berpangkalan Poland itu.

“Ia yang pertama di Malaysia dibina tanpa trek larian, malah kelab ini juga mula membina nama di peringkat antarabangsa,” menurut kenyataan rasmi StadiumDB.com.

Dibina di Iskandar Puteri dengan kos RM200 juta, stadium ini akan menggantikan Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebagai gelanggang ‘home’ buat skuad Harimau Selatan itu.

Stadium Sultan Ibrahim diwarnai LED yang mengikut warna tema pasukan JDT

Lampu-lampu LED bertemakan warna rasmi pasukan iaitu merah, putih dan biru dijangka akan menghiasi luar dan dalam stadium.

Memuatkan berkapasiti penonton seramai 35,000, stadium di tapak berkeluasan 28.3 hektar ini juga sebahagian dari Bandar Sukan JDT yang menempatkan hotel, pangsapuri, restoran, pusat beli-belah, padang ragbi, gelanggang tenis dan beberapa fasiliti sukan moden.

Menurut laman web rasmi yayasanjdt.my, Stadium Sultan Ibrahim adalah yang pertama di Malaysia dengan rumput asli.

“Selain landskap dan reka bentuk menarik, ianya juga satu-satunya stadium di Malaysia yang mempunyai rumput Zeon Zoysia dan dilengkapi sistem sembilan lapisan saluran bagi mengelakkan air bertakung.

“Selain fasiliti pemain yang serba lengkap serta sauna dan jakuzi, stadium ini turut mempunyai fasiliti lengkap mesra OKU serta surau di setiap sudut dan ruang.

“Peminat turut boleh menyaksikan perlawanan melalui ‘corporate box’ yang eksklusif dan bergambar bersama Augmented Reality (AR) Photo Booth,” menurut yayasanjdt.my

Bagi menampung kenderaan pengunjung, stadium itu menyediakan lebih 3,000 lot letak kereta.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  1  =  6