JBPM Pahang siap sedia hadapi api hutan gambut

 JBPM Pahang siap sedia hadapi api hutan gambut

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa (tengah) menyampaikan sijil penghargaan pada Majlis Perbarisan Tahunan JBPM Pahang.

KUANTAN, 27 Januari 2022 – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang kini telah bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlaku kes kebakaran hutan tanah gambut dan ekoran keadaan cuaca panas ketika ini.

Tumpuan turut diberikan di kawasan belukar yang kini kering berikutan pokok mati selepas ditenggelami banjir akhir tahun lalu.


Pengarah JBPM Pahang, Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, risiko kebakaran cukup tinggi berlaku di dua kawasan berkenaan.


“Ia berikutan pokok renek termasuk lalang yang mati serta kering terlalu mudah terbakar terutama lagi dalam keadaan cuaca panas dan berangin.


“Jika tidak ditangani dengan tindakan awal, kita bimbang berlaku kebakaran melibatkan kawasan yang luas dan sukar di terkawal,” katanya selepas Majlis Perbarisan Tahunan JBPM Pahang di sini, semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)
Pahang, Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa memeriksa perbarisan pada Majlis Perbarisan Tahunan JBPM Pahang.


Wan Mohammad Zaidi berkata, kejadian itu boleh berlaku sekiranya ada pihak melakukan aktiviti yang boleh mencetus kebakaran termasuk melakukan pembakaran terbuka atau faktor lain di kawasan terbabit.


Beliau berkata, JBPM Pahang kini sudah bersiap sedia dengan aspek keanggotaan dan logistik dalam berdepan kemungkinan berlakunya kes kebakaran hutan dan tanah gambut di negeri ini.


“Semua peralatan termasuk pam mudah alih yang digunakan untuk memadam kebakaran hutan dalam keadaan baik dan boleh digunakan pada bila-bila masa sekiranya diperlukan.


“Kita juga menerima enam unit ‘fire pump’ dari bomba Kuala Lumpur untuk kegunaan dalam operasi memadam kebakaran hutan tanah gambut dan belukar sekiranya berlaku,” katanya.


Menurutnya, bagi kes kebakaran hutan tanah gambut, pihaknya kini sedang memantau beberapa lokasi di tiga daerah iaitu Kuantan, Pekan dan Rompin yang dikenal pasti sering berlaku kebakaran berdasarkan kejadian pada tahun sebelum ini.


Dalam perkembangan lain, Mohammad Zaidi berkata, cuti anggota bomba di negeri ini dibekukan sempena perayaan Tahun Baru Cina minggu depan.


Menurutnya, hanya 20 peratus anggota dibenarkan bercuti sepanjang tempoh berkenaan.


“Penugasan Ops Tahun Baharu Cina sudah bermula di mana anggota dan jentera kini ditempatkan di tiga lokasi strategik sepanjang Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK).


“Pos operasi dibuka di Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Genting Sempah, Temerloh dan Gambang untuk tugas rondaan dan pemantauan bagi menghadapi kemungkinan berlaku kemalangan yang memerlukan operasi penyelamatan segera,” katanya.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  −  1  =  1