Jazlan ambil kesempatan desak Muhyiddin untuk dicalonkan semula – Fakhrul Anwar

 Jazlan ambil kesempatan desak Muhyiddin untuk dicalonkan semula  – Fakhrul Anwar

ISKANDAR PUTERI, 22 Nov — Desakan Datuk Nur Jazlan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menarik terus sokongan kepada kerajaan supaya PRU-15 diadakan segera boleh difahami sebagai ingin mengambil kesempatan untuk menawarkan diri sebagai calon kelak.

Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Iskandar Puteri, Fakhrul Anwar bin Ramli berkata, desakan Nur Jazlan boleh difahami kerana telah kalah dengan majoriti yang amat besar malah di bawah kepimpinannya sebagai Pengerusi BN Pulai juga tewas di kedua-dua DUN dengan majoriti 9,178 di DUN Kempas dan 19,533 di DUN Perling.

“Adalah lebih baik beliau fokus untuk menjaga bahagian sendiri memandangkan beliau bukan Ahli Parlimen atau ADUN.

“Sebagai Ahli Parlimen Pulai yang kalah dengan majoriti lebih 28,924 pada PRU-14 mahukan PRU segera untuk membolehkan dirinya dicalonkan semula bertanding di Parlimen sama.

“Sebagai pemimpin nombor dua dalam UMNO Johor sewajarnya beliau membantu mengukuhkan perpaduan dan kerjasama antara BN & PN di peringkat pusat dan negeri bagi memberikan perkhidmatan terbaik pada rakyat, apatah lagi kedua-duanya diketuai oleh pemimpin dari UMNO BN sendiri,” ujar Fakhrul kepada Wacana.my.

Menurut Fakhrul lagi, beliau yakin dan percaya apa jua tindakan yang diambil oleh Tan Sri Muhyiddin dan Bersatu sentiasa menjadikan kepentingan negara dan negeri serta kebajikan rakyat sebagai keutamaan.

Malah katanya lagi, Tan Sri (Muhyiddin) & Perikatan Nasional menghormati dan mematuhi titah Seri Paduka Yang Dipertuan Agong dan Sultan Johor yang mahukan semua pihak fokus dan sama-sama berganding bahu untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat yang terjejas dengan kesan pandemik COVID-19.

Zuan Azmi

zuan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *