• Friday, 18 June 2021, 1:26 am

Jawatan pengerusi: Antara kompetensi dan imbuhan politik

 Jawatan pengerusi: Antara kompetensi dan imbuhan politik
Oleh Amerul Muner Mohammad

 

MENGIKUT jangka hayat sesi Parlimen sekarang, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan selewat-lewatnya Julai 2023. Namun semasa darurat diishytiharkan berkuat kuasa dari 12 Januari sehingga 1 Ogos 2021, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyddin Yassin memberi jaminan bahawa PRU15 akan diadakan sebaik sahaja pandemik COVID-19 menjadi lebih terkawal dan keadaan adalah selamat bagi pilihan raya dijalankan.

Mengikut sistem pilihan raya di Malaysia, pengundi akan memilih calon dan bukannya parti walaupun calon-calon yang bertanding adalah ditentukan oleh parti masing-masing, kecuali calon-calon yang tidak mewakili mana-mana parti politik. Parti politik atau gabungan parti-parti yang mendapat jumlah kerusi yang terbanyak di dalam Dewan Rakyat akan membentuk kerajaan dan pemimpin parti tersebut akan dilantik untuk menjadi Perdana Menteri.

Di samping manifesto dan ideologi politik, kejayaan seseorang calon dalam pilihan raya banyak bergantung kepada kerja keras jentera parti di peringkat bawah sehingga ke peringkat nasional. Berkempen untuk memenangi hati dan perasaan pengundi bukan perkara mudah. Ia juga memerlukan sumber kewangan yang besar dan tenaga yang sepenuhnya. Penyokong dan penggiat parti akan berlumba-lumba untuk membantu parti masing-masing bagi memastikan calon mereka terpilih menjadi ahli Parlimen.

Melainkan sesuatu parti politik itu mendapat majoriti yang besar, ketua parti tersebut akan bergantung kepada ahli-ahli dewan bagi memastikan beliau mendapat sokongan untuk menjadi Perdana Menteri. Adalah menjadi suatu tuntutan bagi Perdana Menteri akan memilih dalam kalangan ahli-ahli Parlimen yang berpengetahuan, berpengalaman dan paling penting, yang memberi sokongan penuh untuk menjadi menteri dan timbalan menteri. Ketika ini, Malaysia mempunyai  jumlah ahli Kabinet dan timbalan yang paling tinggi iaitu 72 orang.

Orang berbudi kita berbahasa. Sudah menjadi budaya di Malaysia bahawa bagi ahli-ahli Parlimen yang tidak terpilih menjadi menteri atau timbalan, mereka juga harus diberikan kedudukan di dalam badan-badan berkaitan kerajaan. Ia seperti pengerusi atau ahli di badan-badan berkanun, pengerusi atau ahli lembaga pengarah syarikat milik kerajaan (GLC), penasihat atau duta bertaraf menteri dan sebagainya. Lantikan politik ini lebih bersifat membalas budi kepada ahli-ahli politik yang memberi sokongan kepada Perdana Menteri dan kerajaan.

 


“Harus dijadikan peringatan kepada ahli-ahli politik yang lain bahawa sekiranya mereka dilantik untuk memegang sesuatu jawatan, ia bukanlah suatu hadiah politik yang boleh diambil ringan tetapi sebaliknya, jawatan tersebut adalah suatu tanggungjawab yang harus dipikul di samping tugas mereka di arena politik.


 

Isu yang timbul berkaitan dengan pelantikan ahli-ahli politik ini adalah, kriteria yang digunakan seolah-olah lebih kepada sokongan politik kepada parti memerintah daripada kebolehan atau kompetensi seorang itu menyandang jawatan yang diberikan. Sesetengah syarikat milik kerajaan memerlukan pengerusi (walaupun bukan eksekutif) dan ahli lembaga pengarah yang mempunyai kompetensi dan kredibiliti yang tinggi untuk menerajui syarikat-syarikat tersebut. Agak malang bila terdapat orang politik yang dilantik sebagi pengerusi atau ahli lembaga pengarah GLC gagal untuk menjalankan tugas mereka seperti mana yang diharapkan. Tindakan kerajaan untuk memberhentikan perkhidmatan seorang pengerusi GLC secara serta-merta baru-baru ini, harus dijadikan peringatan kepada ahli-ahli politik yang lain bahawa sekiranya mereka dilantik untuk memegang sesuatu jawatan, ia bukanlah suatu hadiah politik yang boleh diambil ringan tetapi sebaliknya, jawatan tersebut adalah suatu tanggungjawab yang harus dipikul di samping tugas mereka di arena politik.

Nilai integriti harus dipegang teguh oleh ahli-ahli politik yang mengaku diri mereka sebagai pemimpin masyarakat. Tingkah laku mereka menjadi gambaran terhadap kerajaan dan kegagalan mereka dalam menguruskan organisasi masing-masing akan memberi kesan negatif kepada kerajaan dan parti memerintah. Bukan semua orang politik boleh menjadi pengerusi syarikat yang efektif kerana pengurusan syarikat bukannya seperti mengurus cawangan atau bahagian parti politik, lebih-lebih lagi GLC di mana kepentingan negara harus diutamakan.

Banyak yang telah diperkatakan mengenai perkara ini, namun lantikan politik masih berterusan. Kerajaan harus memandang serius mengenai perkara ini kerana GLC adalah syarikat milik negara yang harus ditadbir dengan integriti dan tadbir urus yang tinggi bagi memastikan kepentingan negara tidak diganggu gugat. Manakala ahli-ahli politik pula harus menetapkan sama ada mereka ingin terus berpolitik atau ingin menjalankan perniagaan. Politik dan perniagaan terutama GLC tidak harus disatukan.

 

Penulis ialah mantan Ketua Pegawai Eksekutif, Electoral Reform Committee (ERC).

 

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *