Japan Mall jadikan Malaysia gerbang tembusi pasaran ASEAN

 Japan Mall jadikan Malaysia gerbang tembusi pasaran ASEAN

Oleh Christine Lim

KUALA LUMPUR, 7 Mac — Malaysia telah dijadikan gerbang kemasukan produk Jepun ke pasaran ASEAN seperti yang dirancangkan dalam projek Japan Mall, bertujuan untuk menggalakkan jualan makanan serta kosmetik Jepun secara dalam talian dengan sokongan laman e-dagang utama luar negara.

Mai Onozawa

Pengarah Urusan Kuala Lumpur Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO), Mai Onozawa berkata platform jualan dalam talian di Malaysia boleh menjadi batu loncatan untuk mengembangkan produk Jepun ke negara-negara ASEAN lain memandangkan Malaysia mempunyai potensi e-dagang tertinggi dengan peratusan pemilikan peranti pintar terbanyak.

 

Malaysia juga mempunyai pasaran pengguna yang menarik dalam golongan pendapatan kelas atas.

Projek dalam talian Japan Mall untuk kosmetik dan makanan Jepun di Malaysia telah dilancarkan oleh JETRO pada 2018.

“JETRO bekerjasama dengan laman e-dagang utama Hermo dan Shojikiya bagi meningkatkan kesedaran mengenai makanan dan produk kosmetik Jepun,” katanya kepada Bernama.

Sebagai respons kepada permintaan yang semakin meningkat terhadap konfeksi cenderamata di Malaysia, Onozawa berkata JETRO kini sedang mengadakan pameran cenderamata serantau, terutamanya untuk produk dari Hokkaido, Okayama dan Kyushu mulai Januari hingga Mac tahun ini disebabkan sekatan perjalanan dan pandemik COVID-19.

Beliau berkata pameran cenderamata dalam talian melalui promosi Japan Mall mampu dijadikan platform bagi meningkatkan kesedaran mengenai produk Jepun, terutamanya produk yang baru dilancarkan dari kawasan Okayama Jepun di Malaysia dan seluruh rantau ASEAN.

”Jualan produk dari Hokkaido amat menggalakkan, dengan pengaruh individu yang terkenal serta pengiklanan dalam media sosial.

“Jualan produk dari Okayama agak lembap, mungkin disebabkan produk-produk ini baru dilancarkan di Malaysia pada tahun ini dan kami berhasrat untuk meningkatkan kesedaran mengenai rantau Okayama,” tambahnya lagi.

”Kami juga mengiktiraf potensi pasaran halal dan beberapa syarikat Jepun sedang mengeluarkan (barangan) untuk pasaran eksport halal. Walaupun Japan Mall menyasarkan pelanggan Cina, kami berharap untuk memperkenalkan lebih banyak produk halal pada masa akan datang,” katanya.

Pengurus Perkhidmatan Akaun Utama Shojikiya Sdn Bhd, sebuah syarikat perdagangan makanan Jepun, Melissa Lim berkata jualan secara outlet produk-produk Jepun telah terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Shojikiya mempunyai laman e-dagang terbesar, yang memenuhi keperluan makanan Jepun di Malaysia.

“Jualan e-dagang kami semakin meningkat. Projek Japan Mall JETRO adalah salah satu faktor utama dalam menambah permintaan untuk pembelian makan di rumah semasa sekatan COVID-19,” katanya kepada Bernama.

Pengarah Urusan Yoikigen Co.Ktd, Nobuyuki Watanabe yang mewakili syarikat itu dalam promosi Japan Mall berkata ini merupakan eksport dan jualan pertama syarikat itu ke Malaysia pada tahun ini.

“Saya diperkenalkan kepada projek Japan Mall oleh pejabat JETRO Okayama ketika saya sedang mencari saluran jualan luar negara yang baharu berikutan kemerosotan pasaran di Jepun dan antarabangsa, jadi, saya memutuskan untuk mengambil bahagian.  Sukar untuk membangunkan saluran jualan baharu kerana risiko COVID-19.

“Bagaimanapun, projek Japan Mall telah memberi kami peluang baharu dalam pepadanan perniagaan dan promosi jualan,” Watanabe memberitahu Bernama.

Yoikigen menampilkan ‘Baby Amazake’, minuman tonik untuk kecantikan di pasaran Malaysia melalui JETRO di platform dalam talian Japan Mall.

”Dengan jualan melalui projek Japan Mall di Malaysia mula mencerminkan hasil, kami bercita-cita untuk memperluaskan saluran jualan kami ke Asia Tenggara pada masa akan datang,” katanya lagi.

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

99  −    =  92